suria

Pemuda Umno Usaha Bawa Pulang Tiga Saudara Iban Dari Papua New Guinea

KUALA LUMPUR: Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno akan berusaha membantu membawa pulang tiga rakyat Malaysia yang mempunyai pertalian persaudaraan yang menjadi mangsa penipuan oleh sebuah agensi pekerjaan di Papua New Guinea sejak Disember tahun lepas.

Mangsa terbabit yang kesemuanya berketurunan Iban dan berasal dari Kapit, Sarawak ialah Rimban anak Mawang, 49, Jeri anak Ebet, 47, dan Richi anak Jeri, 23, telah ditipu ditawarkan pekerjaan sebagai pembalak di negara itu.

Ketiga-tiga mangsa kononnya ditawarkan gaji yang lumayan mengikut kemampuan membalak selain keluarga di negara ini akan menerima bayaran sejumlah RM1,500 sebulan.

Namun, sehingga awal bulan ini tiada sebarang pembayaran diterima oleh pihak keluarga di sini malahan keluarga dikhabarkan mereka telah dianiaya dan ditindas dengan tidak lagi mempunyai sebarang pekerjaan atau tugasan bekerja.

Anak salah seorang mangsa, Rose anak Rimban, 26, berkata ayahnya yang juga abang ipar kepada Jeri menerusi panggilan terakhir pada 21 April lepas memberitahu bahawa mereka telah ditipu oleh majikan dengan tiada tawaran keistimewaan seperti yang dijanjikan.

"Ayah memberitahu mereka bertiga dikurung, tidak dibenarkan keluar dari tempat tersebut di samping keselamatan diancam kerana diawasi oleh orang kulit hitam yang bersenjata dan tidak diberi duit pinjaman serta makan minum. "Saya risau keselamatan ayah dan meminta bantuan serta jasa baik pihak Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno dan Parti Rakyat Sarawak untuk membawa ayah balik ke Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Isteri Rimban, Josephine anak Gandang, 40, berharap pihak Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno dan Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak mempercepatkan proses untuk membawa pulang anggota keluarganya yang dikhuatiri keselamatan mereka di negara itu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, susulan aduan daripada anggota keluarga itu, pihaknya telah menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Papua New Guinea dan pihak berkuasa negara itu berhubung kes itu.

"Dengan kerjasama baik dan keproaktifan pihak Pesuruhjaya Tinggi iaitu pemangku Pesuruhjaya Tinggi (Azman Rahim) dapat mengenal pasti lokasi mereka bertiga ditempatkan iaitu di satu kawasan pedalaman yang jauh dari ibu kota negara itu dan keselamatan mereka difahamkan terkawal dan baik," katanya.

Sehubungan itu, Muhd Khairun berkata misi membawa pulang mereka bertiga akan dilakukan dalam tempoh dua minggu akan datang selepas mendapat lampu hijau dari pihak Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sana.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mengemaskini sistem dan mengetatkan syarat-syarat terhadap rakyat Malaysia yang mahu bekerja di luar negara agar nasib mereka lebih terjamin apabila bekerja di negara asing.

"Kita mendapati banyak kes mereka yang bekerja di luar negara mempunyai masalah, seperti kes ini yang tiada kontrak atau perjanjian hitam putih...ianya boleh ditangani dengan memperbaiki sistem, menyediakan opsyen atau alternatif lain agar kebajikan mereka tidak lagi dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya. Menurutnya, pihaknya turut akan menyiasat enam lagi mangsa dari Sarawak yang dilaporkan menerima nasib yang sama di negara itu.

Dalam sidang akhbar itu, Setiausaha Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak Alexander Kadir berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno dalam usaha membawa pulang ketiga-tiga mangsa dengan secepat mungkin. -BERNAMA

Artikel Lain