suria

Pelajar Dan Remaja Maut Dirempuh Lori

IPOH: Seorang pelajar terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Banjar, Teluk Intan, 100 Km dari sini, Selasa.

Mangsa Mohamad Firdaus Che Rose, 15, berasal dari Kampung Tersusun Padang Tembak, Teluk Intan yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di Hospital Teluk Intan pada 8.45 malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata, kejadian berlaku pada 4.55 petang ketika mangsa dikatakan membuat pusingan 'U' di jalan berkenaan tanpa disedari sebuah lori dari arah belakang merempuhnya.

Mangsa pelajar di sebuah sekolah di Teluk Intan yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan tetapi meninggal dunia pada 8.45 malam tadi, katanya ketika dihubungi Rabu.

Sementara itu dalam kejadian lain di Km 45.5 Jalan Ipoh-Lumut dekat Parit seorang remaja yang menunggang motosikal terbunuh selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah lori awal pagi Rabu.

Mangsa, Mohamad Muazam Ismail, 19, yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia ditempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke rumahnya di Kampung Bangkong, Lambor Kiri, Bota. -BERNAMA

Artikel Lain