suria

Pegawai Penjara Ditahan Kerja Didakwa Kasari Orang Awam

KOTA KINABALU: Seorang pegawai penjara dari Sekolah Henry Gurney di Keningau telah ditahan kerja berhubung dakwaan mengasari seorang lelaki di tempat awam pada 30 April lepas.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Jabatan Penjara Malaysia, berkata ia akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis agar siasatan dapat dijalankan dengan lancar.

"Sekiranya hasil siasatan menunjukkan pegawai tersebut terlibat, adalah ditegaskan tindakan sedemikian merupakan tindakan individu dan tidak berkaitan dengan Jabatan Penjara," kata kenyataan itu.

Jabatan Penjara juga menjalankan siasatan dalaman bagi membolehkan tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai itu.

Siasatan itu dijalankan ekoran laporan dalam laman web sabahkini.net pada 1 Mei lalu berhubung tindakan seorang pegawai Jabatan Penjara dan rakan-rakannya menggunakan kekerasan dan mencederakan seorang lelaki bernama Ben Cheah Pin Xen pada lewat malam 30 April di sebuah kedai di Keningau. - BERNAMA

Artikel Lain