suria

Malaysia Tidak Pernah Jadi Sasaran Kumpulan Pengganas - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Malaysia percaya pergerakan pengganas atau kumpulan militan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menjadikan negara ini sebagai sasaran mereka, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya setakat ini Malaysia bebas dari sebarang ancaman kumpulan pengganas malah negara tidak pernah menjadi sasaran bagi mana-mana kumpulan tersebut.

"Adalah amat penting untuk memahami minda penjenayah antarabangsa ini supaya kita dapat menangani ancaman seperti ini pada masa depan.

"Mereka bukan sahaja terbatas hanya kepada militan Islam tetapi juga kumpulan militan lain," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Hal Ehwal Luar India, S.M.Krishna, di pejabatnya, di sini, Selasa.

Hishammuddin juga berkata adalah tidak benar bahawa Malaysia menjadi sarang membiak pengganas atau tempat bagi merekut pengikut di kalangan pelajar universiti di sini.

Mengulas kematian pemimpin kumpulan militan Al-Qaeda, Osama bin Laden, dalam operasi pihak keselamatan Amerika Syarikat di Islamabad, Pakistan, semalam, Hishammuddin berkata adalah lebih penting untuk melihat apa kesan daripada pembunuhan itu.

Katanya polis telah meningkatkan keselamatan di tempat-tempat strategik seperi kedutaan dan kawasan awam di negara ini.

"Unit menangani keganasan kita juga mendapatkan maklumat lanjut daripada rakan sejawat dari seluruh dunia dan kita hanya boleh memperoleh maklumat risikan sekiranya kita mempunyai hubungan mantap," katanya.

Mengenai pertemuan dengan Krishna, beliau berkata Malaysia dan India bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa kumpulan kerja bersama dalam hal ehwal keselamatan.

Selain memberi tumpuan kepada isu keganasan, katanya, jawatankuasa itu juga akan menyentuh hal hal lain seperti imigresen, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah dan isu-isu merentasi sempadan termasuk penyeludupan senjata.

Katanya beliau yakin kerjasama dua hala itu bagi menangani ancaman jenayah dapat dikendalikan secara lebih baik dan terancang.- BERNAMA

Artikel Lain