suria

Tuntutan Harta Sepencarian Siti Fairus Hampir Selesai

SHAH ALAM: Prosiding tuntutan harta sepencarian dan mutaah yang mencecah hampir RM2 juta oleh penyanyi popular 80-an, Siti Fairus terhadap bekas suaminya sejak dua tahun lalu kini hampir menampakkan jalan penyelesaian.

Peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili penyanyi tersebut berkata, daripada semua aset yang terlibat dalam, hanya satu sahaja yang masih belum dapat diputuskan secara bersama.

Aset tersebut ialah sebuah rumah yang terletak di Subang Indah, dekat sini.

Justeru itu, Fakhrul Azman memohon agar Mahkamah Tinggi Syariah di sini dapat menetapkan satu tarikh untuk Siti Fairus dan bekas suaminya, Mohamad Zainuddin Kordi hadir ke mahkamah bagi merekodkan persetujuan tersebut.

Perkara itu dipersetujui oleh peguam syarie Zuri Zabudin Budiman yang mewakili Mohamad Zainuddin dan beliau berkata, mereka sedang berusaha mencari jalan penyelesaian dalam isu rumah tersebut.

Sehubungan itu, Hakim Syarie Muhammad Adib Husain menetapkan 4 Julai depan untuk mahkamah merekodkan persetujuan tersebut.

Prosiding Selasa, hanya dihadiri oleh wakil-wakil kepada Siti Fairus, 46, dan Mohamad Zainuddin, 46, yang merupakan seorang pembantu teknik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Zuri Zabudin memberitahu, anak guamnya mengalami masalah kesihatan manakala Siti Fairus dimaklumkan berada di Kuantan, Pahang.

Siti Fairus atau nama sebenarya Siti Fairus Sheikh Mohamed disahkan bercerai secara taklik dengan Mohamad Zainuddin pada 14 Julai 2008 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, dekat sini.

Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada tahun 1988 dikurniakan lima anak, iaitu Farhanah Afifah, 21, Farahiah Amirah, 19, Fadhli Asyraf, 17, Fariz Afiq, 15 dan Fakhri Aiman, 11 tahun.

Selepas perceraian itu berlaku, Siti Fairus memfailkan tuntutan harta sepencarian yang meliputi enam bidang tanah di Subang Indah, Petaling Jaya; Tiara Beach Resort, Port Dickson, Bukit Merah Lake Town, Perak;Damansara dan Sungai Buloh serta empat buah rumah di Mutiara Damansara, Bandar Sri Damansara dan Shah Alam.

Artikel Lain