suria

KPT Lantik 200 Pasca Doktoral Setahun Hingga 2015

BANGI: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merancang untuk melantik 200 pasca doktoral warga tempatan dan asing untuk membangunkan program penyelidikan dan inovasi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perancangan itu bertujuan demi memenuhi keperluan negara yang dilakukan setiap tahun bagi sehingga 2015.

"IPTA diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk melantik mereka. Selepas itu mereka akan ditempatkan di universiti terpilih untuk memulakan aktiviti penyelidikan dan inovasi bukan saja menghasilkan produk tapi suatu proses secara sepenuh masa," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, Selasa.

Jelas Mohamed Khaled, dalam usaha meningkatkan keupayaan mencipta dan menginovasi produk dan proses baru, pengwujudan inkubator yang dapat menjana industri dan corak perniagaan baru diperkenalkan melalui inisiatif Pelan Pembangunan Modal Insan Inovasi.

"Berdasarkan perancangan hasil segera pelan itu, setiap pasca doktoral yang dilantik akan ditempatkan secara berasingan di lapan inkubator yang diwujudkan iaitu setiap satu di universiti penyelidikan dan tiga lagi dikongsi bersama oleh universiti di zon utara, tengah dan selatan," ujarnya.

Selain berperanan untuk mentransformasikan penyelidikan, beliau berkata, bakat, idea dan kemahiran kumpulan cerdik pandai itu turut digunakan untuk menggerakkan ekonomi negara.

"Bagi membolehkan Malaysia bersaing dengan negara luar, kita memerlukan modal insan yang memiliki ilmu yang tinggi dalam pengkhususan sesuatu bidang. Jadi universiti memerlukan golongan pakar dalam bidang penyelidikan dan inovasi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tiga universiti iaitu UKM, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dipilih untuk menjalani penilaian projek rintis audit autonomi bermula pertengahan tahun lalu.

Katanya, autonomi akan diberikan atas keyakinan kerajaan terhadap keupayaan dan tanggungjawab universiti terbabit dalam urusan pentadbiran selari dengan amalan universiti ternama untuk menggalakkan kecemerlangan akademik.

"Setakat ini, UKM antara kumpulan pertama yang dinilai dan laporan penilaian telah dihantar kepada KPT untuk pertimbangan selanjutnya.

"Kita akan tengok sama sistem yang kita bangunkan itu boleh diterima dan meninggalkan kesan kepada universiti terbabit. Selepas itu, barulah kita akan umumkan universiti yang terpilih untuk menerima anugerah itu," jelasnya.

Artikel Lain