suria

Pas Kelantan Digesa Keluarkan 'Hitam Putih' Ladang Rakyat

KOTA BARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan hari ini menggesa kerajaan Kelantan mengemukakan laporan secara "hitam putih" mengenai projek Ladang Rakyat.

Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata laporan itu perlu demi menjawab pelbagai persoalan dan isu mengenai projek terbabit yang sudah sekian lama berbangkit.

"Kita minta kerajaan PAS Kelantan bersikap telus dalam perkara ini dan kemukakan maklumat terperinci berapakah jumlah tanah diberikan, berapakah perolehan kerajaan negeri dalam hasil perhutanan dan ladang yang diterokai dan siapakah syarikat yang terbabit," katanya kepada pemberita selepas perasmian Konvensyen BN, di sini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata gesaan itu adalah antara lima resolusi yang dibawa pada konvensyen sehari B Ntersebut.

Mengulas lanjut mengenai gesaan terbabit, beliau berkata BN Kelantan menerima aduan demi aduan daripada rakyat khususnya di kawasan pedalaman, mendakwa tanah mereka dirampas kerajaan negeri tanpa perundingan.

Terbaru pada 27 April lepas, tiga lelaki Orang Asli suku Temiar dari Pos Belatim memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kota Baharu menghalang kerajaan Kelantan daripada meluluskan tanah di Pos Belatim, Gua Musang kepada Perbadanan Ladang Rakyat Negeri Kelantan untuk projek tersebut.

Selain itu, Mustapa berkata konvesnyen itu juga akan meluluskan resolusi mendesak kerajaan negeri menangani masalah keruntuhan moral warga muda di Kelantan.

BN juga berjanji akan membela nasib masyarakat minoriti, menyediakan pelan strategi pembangunan Kelantan untuk menambah peluang pekerjaan dan perniagaan bagi membendung penghijrahan, menyelesaikan isu Ladang Rakyat serta masalah bekalan air bersih apabila diberi mandat mentadbir Kelantan pada pilihan raya umum ke-13, katanya.- BERNAMA

Artikel Lain