suria

Gerakan Tidak Anggap Kenyataan PM Sebagai Ugutan

KUALA LUMPUR: Gerakan tidak menganggap kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kemungkinan kehilangan perwakilan dari kaum Cina dalam kerajaan sekiranya komponen parti Barisan Nasional (BN) gagal mendapat sokongan pengundi Cina pada pilihan raya umum akan datang sebagai satu 'ugutan' kepada masyarakat Cina.

Presidennya Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata beliau sebaliknya menganggap kenyataan itu sebagai "cerminan realiti dan menjadi peraturan dalam politik".

"Apabila jumlah wakil yang dipilih semakin kecil, biasanya ia menjadikan jumlah perwakilan dalam kerajaan semakin lemah, sekurang-kurangnya secara prinsipnya," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan Isnin.

Koh berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib semalam bahawa komuniti Cina perlu memutuskan sama ada hendak mengundi parti komponen BN atau kehilangan perwakilan mereka dalam kerajaan.

Najib dilaporkan berkata komuniti Cina perlu mengorbankan parti dalam kerajaan sekiranya mereka memilih untuk menyokong pembangkang.

Kenyataan Perdana Menteri itu adalah susulan kepada kenyataan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek Jumaat lepas bahawa parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri sekiranya mereka mendapat keputusan buruk pada pilihan raya akan datang berbanding pilihan raya 2008.

Koh seterusnya meminta semua parti komponen BN untuk bekerjasama menjadi "lebih rakyat Malaysia dari segi perspektif, dan menjadi wakil dalam erti kata sebenar, supaya di masa akan datang pengundi akan mengenal pasti BN sebagai satu parti tunggal yang mewakili semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum".

"Mari kita jadikan aspirasi Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN untuk menjelmakan 1Malaysia sebagai satu realiti," katanya.

Koh berkata di kebanyakkan negara, pengundi di bandar yang biasanya lebih terbuka dan berpendidikan tinggi, cenderung untuk lebih mengambil berat dan kritikal mengenai isu-isu seperti urus tadbir yang baik, integriti, hak asasi manusia, kebebasan sivil serta keadilan, berbanding isu berkaitan pendapatan dan infrastruktur, dan inilah yang berlaku di kawasan bandar di Sarawak pada pilihan raya negeri baru-baru ini.

"Isu-isu ini, terutama berkaitan integriti, membawa pengiktirafan umum komuniti Cina terhadap amalan terbuka dan agak liberal Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengenai kebudayaan, agama dan pendidikan di Sarawak; di mana kaum dan agama bukan menjadi faktor utama dalam politik; sehinggalah kebelakangan ini," katanya.

Koh berkata jika dilihat daripada kecenderungan mengundi dari sudut kaum sekalipun, apa yang tidak boleh dinafikan ialah kira-kira 30 peratus pengundi dari kaum Cina di Sarawak menyokong BN dan SUPP.

"Kita ada tanggungjawab untuk mewakili mereka dalam kerajaan. Malah selepas setiap pilihan raya, parti yang diberi mandat perlu berkhidmat untuk semua tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, mahupun siapa yang diundi mereka," kata beliau yang merujuk kepada kekalahan beberapa kerusi BN di kawasan bandar pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.

Koh berkata daripada bertindak balas terhadap keputusan pilihan raya Sarawak dengan agak defensif dan emosional, semua pemimpin parti komponen BN seharusnya kini lebih fokus kepada program-program transformasi yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, yang disasar untuk menangani semua isu berkaitan.

"Apabila kita dapat melaksanakan hasil yang lebih baik buat semua, saya percaya pengundi bandar juga akan mula melihat keikhlasan dan komitmen kita, dan kembali menyokong, walaupun ia mengambil banyak masa dan tenaga," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain