suria

Dua Termasuk Kanak-Kanak Maut Dalam Kemalangan

TELUK INTAN: Dua terbunuh, manakala seorang cedera parah, dan dua lagi tercedera apabila kereta jenis pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas dan terhumban ke dalam parit di Jalan Selabak-Padang Tembak di sini Ahad.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 4.20 petang itu ialah pemandu kenderaan Menan Raj a/l Vasus, 21, dan anak saudaranya Thivaran a/l Ragu, 7 tahun.

"Menan Raj meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siadat, manakala Thivaran meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital berkenaan," katanya kepada pemberita Ahad.

Katanya seorang lagi kanak-kanak Rejeltchumi a/p Ragu, 9, yang juga cedera parah kini dirawat di hospital berkenaan, bersama dua lagi kanak-kanak yang cedera, Mugalan a/l Ragu, 13, dan Vimal a/l Ragu, 2.

Beliau berkata kejadian berlaku ketika kenderaan yang dipandu Menan Raj membawa empat anak saudaranya itu hendak pulang kerumah mereka dari sini ke Selabak.

"Ketika melalui jambatan, kenderaan itu dikatakan gagal dikawal lalu terbabas dan terhumban ke dalam parit sedalam tiga meter yang dipenuh air akibat hujan lebat," katanya.

Goh berkata pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan semua di dalam kenderaan itu. -BERNAMA

Artikel Lain