suria

Wanita Umno Mahu Lebih Banyak Calon Wanita Dalam Pilihan Raya - Shahrizat

IPOH: Pergerakan Wanita Umno akan meminta peruntukan kerusi bagi calonnya dalam pilihan raya umum akan datang dinaikkan kepada 30 peratus berbanding kurang daripada 10 peratus sebelum ini, kata Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Beliau berkata pemintaan itu adalah munasabah dan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk latar belakang pendidikan yang tinggi, berpengalaman dan berkelayakan yang menjadi asas kepada pemilihan calon untuk mewakili parti dalam pilihan raya kelak.

"Dari segi statisik pula, pengundi wanita adalah 51 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi dan kita bersedia untuk digerakkan bagi menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Gopeng di sini, pada Sabtu.

Shahrizat berkata sebagai ketua, beliau telah memikirkan perkara itu secara mendalam dan ia merupakan permintaan yang munasabah serta tidak akan menyukarkan mana-mana pihak.

Keputusan itu turut mengambil kira jumlah pengundi dan keanggotaan wanita dalam parti, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain