suria

Tiga Kereta Polis Remuk Dilanggar Kereta Suspek

KUALA LUMPUR: Tiga kereta peronda polis rosak dirempuh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang suspek pecah rumah yang bertindak nekad untuk meloloskan diri daripada ditahan di Taman Mutiara, Cheras, dekat sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh berkata dalam kejadian 7.30 pagi itu, ketiga-tiga kereta peronda polis cuba menghalang kereta suspek di kawasan perumahan itu selepas lelaki itu dilaporkan cuba memasuki sebuah rumah dua tingkat di taman itu.

Bagaimanapun, polis berjaya menahan suspek berusia 52 tahun itu selepas dikejar selama 30 minit di sekitar kawasan perumahan itu, katanya pada sidang media di di sini.

Mohan berkata polis turut menemui pelbagai jenis peralatan dalam kereta suspek antaranya pemutar skru dan tukul yang dipercayai digunakan untuk memecah rumah.

Katanya kejadian itu bermula apabila sebuah kereta peronda polis dihantar ke Taman Mutiara setelah polis menerima panggilan daripada seorang wanita bahawa terdapat seorang lelaki yang tidak dikenali dan mencurigakan berada di perkarangan rumahnya.

Katanya suspek yang terkejut dengan kehadiran polis segera melarikan diri dari perkarangan rumah itu dengan menaiki sebuah kereta sebelum anggota polis mengekori kereta tersebut.

Menurutnya anggota polis dalam kereta peronda itu kemudian meminta bantuan dua kereta peronda lain apabila suspek enggan memberhentikan kereta dan cuba melarikan diri dari kawasan taman perumahan itu.

Mohan berkata suspek kemudian melanggar kereta peronda ketika cuba disekat tetapi anggota polis berjaya memberkasnya.

Beliau berkata suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh. - BERNAMA

Artikel Lain