suria

MRT: Hantar Maklum Balas Pada SPAD

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengadakan lebih 30 dialog dengan orang ramai untuk berbincang mengenai projek landasan Transit Aliran Massa (MRT) sejak Februari lepas.

SPAD dalam satu kenyataan menyatakan, sesi itu turut melibatkan penyertaan Majlis Kerajaan Tempatan, Anggota Parlimen, persatuan-persatuan penduduk, dan juga ahli perniagaan, bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai projek yang dicadangkan itu.

"Perbincangan ini memberi peluang kepada orang ramai untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung perkara-perkara yang berkaitan projek MRT dan hasilnya cukup positif apabila kebanyakan peserta menaruh kepercayaan terhadap projek itu walaupun ada segelintir yang tidak bersetuju," menurutnya.

Dalam satu Forum MRT anjuran MCA Wilayah Persekutuan, pelbagai isu dibangkitkan, termasuk berkaitan pengambilan tanah, berapa ramai keluarga dan perniagaan akan dipindahkan untuk memberi laluan kepada projek itu, dan jumlah pampasan yang terlibat.

Menurut kenyataan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tan Chai Ho memuji usaha SPAD dalam memberikan gambaran lebih jelas mengenai 'apa sebenarnya' MRT, dan manfaatnya kepada orang ramai dalam jangka masa panjang.

Di Kota Damansara, lebih 100 orang mengambil bahagian dalam sesi perbincangan dengan, dan antara isu yang dibangkitkan termasuk kepentingan sistem bas sokongan yang baik, dan lokasi stesen MRT.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Kamal berkata, objektif utama perbincangan dengan orang ramai itu adalah bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai projek MRT, di samping memberi penerangan kepada orang ramai mengenai bagaimana cara SPAD dan masyarakat dapat bekerjasama untuk membaiki projek itu.

"Kami kaji semua komen orang ramai dengan serius dan akan melihat semua isu-isu yang dibangkitkan sebelum kami buat sebarang keputusan," katanya.

Projek MRT akan menjadi tulang belakang kepada sistem pengangkutan baru yang mampan di Lembah Klang, dan ia digerakkan oleh kerajaan sebagai sebahagian daripada inisiatif Greater Kuala Lumpur dan Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi Lembah Klang di bawah program Transformasi Ekonomi.

Kerja-kerja pembinaan landasan Sungai Buloh-Kajang yang akan bermula tahun ini dijangka siap pada 2016, dan apabila siap ia akan menyediakan perkhidmatan kereta api laju kepada 1.2 juta pengguna di laluan itu.

Orang ramai boleh menghantar maklum balas berhubung projek itu dengan menelefon talian bebas tol 1-800-82-6868 atau menghantar e-mail kepada feedback

Artikel Lain