suria

Lestarikan Budaya Sukarelawan - Rosmah

DUNGUN: Pandu Puteri perlu terus melestarikan budaya sukarelawan di kalangan ahlinya agar sikap prihatin, peka dan penyayang dapat dipupuk dalam budaya masyarakat negara ini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata semangat sukarelawan perlu diterap khususnya di kalangan generasi muda agar ia menjadi amalan murni di samping menghindari sikap individualistik.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia berkata, bagi mengharungi abad ke-21, Malaysia memerlukan generasi baru yang boleh menjana perubahan diri sendiri.

"Saya khuatir jika budaya ini (sukarelawan) tidak diterap sejak remaja lagi, tidak mustahil suatu hari nanti budaya ini akan luput ditelan zaman," katanya ketika merasmikan Program Pandu Puteri Turun Padang bersama masyarakat kampung nelayan daerah Dungun di Kampung Seberang Pintasan di sini, Sabtu.

Turut hadir Yang Dipertua Pandu Puteri Terengganu Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Rosmah berkata, jika budaya sukarelawan disemai dalam setiap program Pandu Puteri, ia sekaligus akan memperkasakan Gagasan 1Malaysia seterusnya melahirkan masyarakat penyayang dan prihatin.

"Saya menyeru semua ahli Pandu Puteri supaya menghulurkan bantuan kepada orang lain agar kita dapat memanfaatkan potensi diri untuk menjadi manusia yang lebih baik dan berguna kepada masyarakat," katanya.

Beliau juga yakin, program turun padang yang kali kedua diadakan selepas di Perak, mampu melahirkan anak-anak gadis dan para remaja yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan juga negara.

Katanya, ahli-ahli Pandu Puteri akan memainkan peranan sebagai "duta kecil" dalam mempromosi persatuan itu supaya setanding dengan pertubuhan bukan kerajaan lain di Malaysia.

Pada majlis itu, Persatuan Pandu Puteri Malaysia turut menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM130,000 daripada Yayasan Pelajaran Mara; Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu; anak syarikat kerajaan Terengganu, Epic Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd. BERNAMA

Artikel Lain