suria

Hala Tuju Yang Jelas Bukti Umno Jamin Masa Depan Negara Berbanding Pembangkang

MERSING: Hala tuju yang lebih jelas dalam memajukan rakyat dan negara membuktikan Umno sebuah parti yang mendukung kerajaan demi menjamin masa depan berbanding pembangkang yang tidak mempunyai asas dalam perjuangan.

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun pembangkang dilihat seolah-olah bergabung dalam satu pakatan tetapi perbezaan pelbagai ideologi menyebabkan mereka tidak mempunyai hala tuju dan dasar yang jelas dalam soal pembangunan negara.

"Ke arah mana yang mereka (pembangkang) hendak bawa kita sekiranya mereka dipilih menjadi kerajaan dalam pilihan raya akan datang? Apakah yang ditumpukan mereka dan bagaimana hendak laksanakan dalam konteks parti dalam pelbagai ideologi yang wujud dalam pembangkang?

"Yang kita lihat banyak masalah dalaman. Pertembungan dalam Pakatan Rakyat telah nyata. Isu yang melibatkan pemimpin mereka terburai di khalayak umum dan banyak masalah dalaman lain yang timbul yang tidak beri keyakinan rakyat untuk menerajui negara pada masa akan datang," katanya.

Berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Mersing di sini hari ini, Muhyiddin berkata pembaharuan drastik yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membangunkan rakyat dan negara termasuk program transformasi kerajaan, program transformasi ekonomi, Bidang Keberhasilan Utama Negara dan Model Baru Ekonomi membuktikan kerajaan kini semakin diterima rakyat.

Katanya walaupun pada peringkat awal tidak jelas sokongan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) tetapi sokongan dilihat semakin bermula menerusi kejayaan pilihan raya kecil di Hulu Selangor sebelum diikuti di Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau, Kerdau dan terbaru pada pilihan raya negeri Sarawak.

Beliau turut mengingatkan semua pemimpin Umno supaya yakin dengan perjuangan parti dan saling bersatu padu sesama anggota demi mencapai kejayaan parti serta pilihan raya akan datang.

"Kita di dalam Umno bukan untuk suku sakat kita tetapi bangsa dan agama. Pokoknya kalau hendak jawab bilakah pilihan raya, soalnya sudah bersediakah kita. Bukannya bersedia dari segi jawatankuasa tetapi dari segi selesaikan isu dalam masyarakat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain