suria

Rakyat Perlu Sedia Hadapi Cabaran Kekurangan Bekalan Makanan

KOTA BARU: Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata rakyat perlu bersedia menghadapi cabaran lebih besar berikutan krisis bekalan makanan yang semakin berkurangan di peringkat global.

Krisis makanan dijangka berlaku berikutan kadar pengeluaran makanan tidak seimbang dengan jumlah penduduk dunia yang semakin bertambah setiap tahun, katanya kepada pemberita selepas melepaskan 220 peserta ekspedisi 4x4 Kelab Eco Rainforest Adventure Team (ERAT) di Panji, dekat sini, Jumaat.

Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata krisis makanan itu akan memberi kesan kepada negara dengan kemungkinan kenaikan harga barangan.

Kebimbangan dunia mengenai kekurangan bekalan makanan turut dibincangkan dalam persidangan Bank Dunia yang dihadirinya sebagai wakil negara di Amerika Syarikat baru-baru ini, katanya.

"Walaupun kerajaan tetap dengan dasar memberi subsidi kepada harga barang keperluan untuk mengurangkan bebanan rakyat akibat kenaikan harga barang, rakyat harus berwaspada menghadapi cabaran lebih besar yang akan ditempuhi dalam menghadapi krisis makanan itu," katanya.

Awang Adek berkata kerajaan akan terus meningkatkan usaha menambah pengeluaran makanan negara bagi mengisi keperluan dengan mewujudkan skim insentif kepada rakyat, terutama dengan meningkatkan bidang pertanian.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain