suria

Pengeluaran Lesen Dan Permit Kepada PKS Dilonggarkan:Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengambil langkah radikal untuk melonggarkan semua keperluan bagi pengeluaran lesen serta permit kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Beliau berkata langkah itu berdasarkan kepada analisis oleh Bank Dunia yang mendapati masih terlalu banyak lesen dan permit diperlukan untuk membolehkan PKS menjalankan perniagaan mereka.

"Perkara itu juga sedikit sebanyak ada kaitan dengan unsur rasuah. Disebabkan itu kita akan permudahkan cara mendapatkan lesen serta permit.

Rebiu akan dibuat kerana ia ada kaitan dengan polisi persaingan untuk memudahkan syarikat masuk ke dalam sesebuah pasaran.

"Tugas itu akan diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara kerana sebagai Pengerusi Pemudah, beliau boleh berurusan dengan sektor swasta dan seterusnya memberikan cadangan kepada kerajaan," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis PKS Kebangsaan ke-11, di sini Jumaat.

Selain itu, Najib berkata mesyuarat juga memutuskan satu dasar "green lane" akan diperkenalkan bagi membolehkan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengguna pakai barangan atau perkhidmatan keluaran PKS.

"Peluang itu diberikan menerusi central kontrak untuk syarikat PKS yang berprestasi tinggi dari segi potensinya dan mempunyai produk yang sangat inovatif berdasarkan pengakuan SME Corporation dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC)," katanya.

Di samping itu, Najib berkata kerajaan juga sedang melihat jenis bantuan-bantuan lain yang boleh diberikan, berdasarkan bahawa syarikat berkenaan berpotensi untuk menceburi pasaran golabal.

"Kerajaan juga akan melihat bagaimana untuk membantu syarikat PKS yang tidak memenangi sebarang hadiah tetapi mempunyai potensi besar," katanya.

Mesyuarat juga kata Najib, bersetuju bahawa dari segi produktiviti PKS di peringkat global masih lagi terlalu rendah dan beberapa perkara perlu dilakukan untuk menaikkannya pada kadar sekurang-kurangya 100 peratus berbanding kadar sekarang.

"Ini mungkin disebabkan penggunaan sumber buruh asing dengan kadar sedia ada menjadi disinsentif (penghalang) kepada mereka untuk melakukan inovasi. Ini mungkin jadi penghalang kerana berada di zon selesa dengan penggunaannya pada kadar yang murah secara relatif.

Perdana Menteri berkata mesyuarat kali ini juga telah memutuskan untuk memberikan kelulusan kepada Fasa Pertama Pelan Induk PKS (2011-2020) yang menunjukkan hala tuju pembangunan PKS ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata pelan itu akan memberi penekanan kepada pembentukan sebuah ekosistem yang bertujuan untuk merangsang peningkatan produktiviti dan inovasi berteraskan strategi menumpukan kepada lonjakan produktiviti dan inovasi sebagai dua senjata utama bagi mengangkat pembangunan PKS kepada tahap lebih tinggi lagi.

"Kita juga perlu menyedari bahawa daya saing PKS perlu dibangunkan lagi bukan sahaja dalam konteks hubungan PKS dengan pasaran global tetapi untuk membolehkan bersaing di dalam pasaran tempatan dalam konteks fenomena globalisasi dan liberalisasi," katanya.

Najib berkata, umpamanya dengan terlaksananya Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) dan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan lain-lain multiliteral agreement bererti bahawa pasaran kita lebih terbuka daripada masa lalu.

Beliau berkata kerajaan telah banyak memberikan bantuan untuk membantu syarikat PKS umpamanya untuk tahun ini sahaja RM6 bilion disediakan oleh pelbagai kementerian dan agensi.

Kerajaan sedar kata beliau dalam usaha membuat perubahan dan lonjakan yang besar, beberapa perkara perlu dilihat antaranya kelemahan dari segi pengurusan dan kemampuan keusahawanan; keenganan PKS untuk membuat inovasi dan teknologi tinggi, sebaliknya hanya bersandar kepada sumber manusia terutama buruh asing untuk menjana output.

"Masalah itu bukan berdasarkan kepada masalah untuk mendapatkan sumber kewangan kerana ia telah diatasi, tetapi sebaliknya kepada keupayaan dalaman mereka," katanya.

Oleh itu kata beliau, kerajaan ingin melihat pembesaran pasaran untuk barangan dan perkhidmatan yang dijana oleh PKS pada masa depan.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain