suria

Pembantu Khas Menteri Pertahanan Selamat Dikebumikan

BAGAN DATOH: Jenazah Ahmad Shaari Abdul Rani, pembantu khas Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya semalam, selamat dikebumikan di Kampung Sungai Tiang Baroh di sini Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Rungkup Datuk Shaarani Mohamad antara yang mengiringi jenazah.

Ahmad Shaari, 55, terbunuh apabila motosikal 1100cc yang ditungganginya terbabas di KM 83.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Sungai Petani, Kedah semalam. Beliau meninggalkan seorang balu, Azlina Hambali, 48, dan tiga orang anak berumur 16 hingga 26 tahun.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Zahid menyifatkan kematian Ahmad Shaari sebagai kehilangan besar kepada Umno Bahagian Bagan Datoh di mana beliau adalah ahli jawatankuasanya.

Katanya, Ahmad Shaari seorang yang dedikasi dan memberi komitmen yang tinggi dalam tugasnya.

"Saya telah mengenalinya sejak 1984, kehilangannya amat sukar dicari ganti," kata Ahmad Zahid yang juga Ketua Umno Bahagian berkenaan.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain