suria

Najib Pelawa Pelabur Dan Peniaga China Jalin Pakatan Dalam ETP Malaysia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada Khamis mempelawa semua pelabur dan syarikat-syarikat perniagaan China menjalin pakatan dengan syarikat tempatan dalam menjayakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) Malaysia.

Perdana Menteri berkata pelabur-pelabur di kedua-dua negara boleh mengambil bahagian dalam pelaburan sektor swasta di bawah ETP yang berjumlah kira-kira RM120 bilion setahun.

"Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-China pada 2010 tidak disangsi lagi merangsang hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala kita, berkembang sebanyak 150 peratus daripada US$18 bilion pada 2004 kepada US$45 bilion tahun lepas," kata Najib semasa berucap pada Forum Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Malaysia-China di sini.

Najib menegaskan bahawa banyak lagi yang boleh dicapai dari segi pelaburan dan perdagangan dua hala dengan memberi tumpuan kepada bidang yang menjadi kepentingan bersama, bukan hanya dua hala tetapi juga di negara ketiga melalui usaha perkongsian.

Di peringkat global, Najib berkata Malaysia dan China juga merupakan penyokong kepada liberalisasi perdagangan multilateral.

"Hari ini, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di peringkat global dan kita sebaliknya adalah rakan dagang terbesar China dengan Asean," kata beliau.

Najib berkata perdagangan antara kedua-dua negara boleh meningkat lagi dengan berkemungkinan berganda dalam masa lima tahun akan datang.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata rakyat Malaysia menjalankan perniagaan bukan hanya di bandar raya besar seperti Beijing, Shanghai dan Guangzhou tetapi juga di wilayah kecil dari Sichuan hingga ke Shandong dan dari Xian ke Xinjiang.

"Dan ini berjalan dalam dua hala dengan lebih 100 syarikat China menjadikan persekitaran pelaburan menarik untuk meneruskan sasaran perniagaan mereka di Malaysia," kata beliau.

Najib berkata syarikat Malaysia berminat untuk mengetahui dengan lebih lagi mengenai peluang komersil baru di wilayah barat, tengah dan timur laut China.

Malaysia, kata Perdana Menteri, juga dinamakan sebagai "negara kehormat" pada Ekspo China Asean Kelapan yang akan berlangsung Oktober ini.

"Kami akan tentunya menjadikan peluang yang berprofil tinggi ini untuk mencapai komuniti pelaburan dan perniagaan China, dengan membawakan program khusus dalam sektor-sektor seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, ICT, perkhidmatan alam sekitar dan teknologi hijau," katanya.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain