suria

Najib Nafi Laporan Bank Dunia

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan Laporan Bank Dunia yang mendakwa dasar yang memberi keutamaan kepada Bumiputera telah menyebabkan berlaku masalah "brain drain" dan kurang kemasukan pelaburan ke negara ini.

Perdana Menteri berkata sebaliknya, pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia telah meningkat kepada RM9 bilion pada tahun lepas daripada RM1.4 bilion pada 2009.

"Saya rasa laporan itu kurang tepat tapi daripada segi 'brain drain' itu, memang kita dah kenal pasti sebagai salah satu daripada masalah yang perlu dicari penyelesaiannya.

"Sebab itu kita menubuhkan Talent Corp, dan langkah pertama saya telah umumkan di Invest Malaysia baru-baru ini, ialah pemberian insentif cukai pendapatan pada kadar tetap 15 peratus bagi tempoh lima tahun jika mereka (profesional rakyat Malaysia) balik ke Malaysia.

"Ini salah satu daripada inisiatif pertama dan inisiatif lain yang telah dipersetujui dan kita akan ambil langkah selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan di sini Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Laporan Bank Dunia semalam bahawa lebih sejuta rakyat Malaysia bekerja di luar negara manakala pelaburan langsung asing ke Malaysia adalah kurang disebabkan oleh dasar itu. Najib berkata beliau yakin Malaysia akan mampu menjamin pertumbuhan yang sihat untuk FDI dan pelaburan domestik.

"Jangan lupa, ia bukannya semata-mata soal FDI tetpai juga pelaburan demostik. Sebanyak 73 peratus daripada perancangan kita melibatkan pelaburan domestik," kata Perdana Menteri.

Beliau juga berkata projek Program Transformasi Ekonomi) secara besar-besaran yang sedang dan akan dilaksanakan juga akan memberi peluang lebih terbuka kepada rakyat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan negara.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain