suria

Muhyiddin Pengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia di Bangunan Perdana Putra di sini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak Datuk Seri William Mawan serta beberapa timbalan menteri.

Menurut kenyataan Kementerian Belia dan Sukan hari ini, perkara yang dibincangkan termasuk maklumat balas daripada Makmal Transformasi Pembangunan Belia melibatkan beberapa cadangan terutama enam inisiatif membentuk generasi belia yang lebih mantap.

Inisiatif itu termasuk penubuhan "Parlimen belia", mewujudkan portal khusus untuk golongan belia, penubuhan Malaysia Youth Park serta melaksanakan program mentor-mentee yang mampu menghasilkan pemimpin masa depan.

Laporan mengenai penjenamaan dan penstrukturan semula kementerian berkenaan turut dibentangkan.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk memantapkan kementerian itu serta mengurangkan fungsi-fungsi yang bertindih, selain menyelaraskan kementerian dengan perubahan ke arah pelaksanaan Strategi Lautan Biru.

Ketika ini 12.5 juta atau 43.8 peratus daripada 28.5 juta penduduk negara ini adalah golongan belia.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain