suria

K'jaan Rugi Hampir RM800 Juta Dalam Bentuk Cukai Kerana Pelbagai Aktiviti Haram

PETALING JAYA: Kerajaan dianggarkan mengalami kerugian dalam bentuk kutipan cukai sebanyak RM745.35 juta tahun lepas kerana aktiviti mencuri dan melombong pasir secara haram, pembalakan haram, penyeludupan pendatang tanpa izin serta penyelewengan subsidi diesel.

Fakta ini terkandung di dalam laporan tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tahun 2010.

Menurut laporan tersebut, kehilangan wang cukai dari aktiviti perlombongan pasir secara haram sahaja di seluruh negara adalah dianggarkan berjumlah RM600 juta.

Manakala kehilangan wang cukai akibat penyeludupan warga asing pula dianggarkan RM86.4 juta, penyelewengan subsidi diesel dianggarkan bernilai RM5O juta dan pembalakan haram dianggarkan bernilai RM8.95 juta.

Kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Bahagian Operasi Khas SPRM bermula 15 April tahun lepas.

Laporan tahunan itu juga menyebut, enam orang telah ditahan kerana menawarkan habuan seks sebagai rasuah manakala jumlah tertinggi yang direkodkan melibatkan pemindahan wang rasuah melibatkan perlombongan pasir secara haram ialah RM88,000.

Ia juga merekodkan bahawa setakat ini 22 orang telah dicaj di mahkamah melibatkan aktiviti melombong pasir secara haram yang mana dua kes telah pun selesai dibicarakan.

Mengenai aktiviti pembalakan haram pula, laporan tahunan itu menyebut, 10 kertas siasatan telah dibuka daripada 46 laporan yang diterima oleh suruhanjaya itu.

Operasi untuk menghalang pembalakan haram itu telah dijalankan di Johor, Perak, Pahang, Kedah dan Hulu Selangor.

Sementara itu, laporan itu turut menyebut bahawa sejumlah 11 kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 manakala enam kertas siasatan lagi dibuka di bawah Seksyen 41 Akta SPRM 2009 untuk membolehkan siasatan dilakukan ke atas penyeludupan warga asing.

SPRM turut menyatakan bahawa mereka menganggarkan antara 1,000 hingga 1,500 warga asing atau pendatang tanpa izin memasuki negara ini setiap hari.

Mengenai aktiviti penyelewengan subsidi diesel pula, SPRM menyebut bahawa mereka telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menahan 36 individu dan merampas 458,000 liter diesel bernilai lebih RM500,000 dalam satu operasi yang dinamakan Ops Nano.

Artikel Berikut

Artikel Lain