suria

Guru Yoga Didakwa Larikan, Kurung Dua Saksi Kes Rogol

KUALA LUMPUR: Seorang guru yoga Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini terhadap pertuduhan melarikan dan mengurung dua pelajar yang merupakan saksi kes rogol yang dihadapinya.

Abdul Malik Abdullah, 55, didakwa melakukan perbuatan itu di rumah No G-1-5, Jalan Desa, Batu Caves 1/7, Taman Desa Batu Caves dekat sini pada 3.45 pagi, antara 7 dan 12 April lepas.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melarikan kedua-dua mangsa dan cuba mempengaruhi mereka dengan niat untuk menghalang perjalanan keadilan kes rogol yang dihadapinya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 Akta kerana Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Roszianayati Ahmad menetapkan 27 Mei ini untuk menyebut semula kes itu.

Bagaimanapun, beliau tidak membenarkan Abdul Malik diikat jamin selepas membenarkan permohonan pegawai pendakwa ASP A Vasu yang memberi alasan perbuatan tertuduh mengganggu saksi merupakan kesalahan serius.

Sebelum ini, Abdul Malik didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas dua pertuduhan merogol pelajarnya yang berusia 15 dan 17 tahun pada bulan Februari dan November tahun lepas, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain