suria

Beberapa Kawasan Di Pulau Pinang Dilanda Banjir Kilat

GEORGETOWN: Hujan lebat yang berterusan lebih tiga jam sejak pukul 7 pagi tadi di Pulau Pinang telah mengakibatkan beberapa buah jalan utama di bandar raya ini dilanda banjir kilat.

Tinjaun Bernama mendapati antara kawasan terbabit ialah Jalan Transfer, Lebuh Maccalum, Lebuh Noordin, sebahagian Jalan P.Ramlee, sebahagian Jalan Perak dan beberapa buah perkampungan di dalam bandar raya.

Hujan lebat dan banjir kilat itu juga telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di seluruh bandar raya George Town sehingga pukul 3 petang tadi.

Menurut jurucakap Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB), jambatan Pulau Pinang juga mengalami kesesakan yang teruk sejak pagi tadi dan keadaan bertambah buruk apabila berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori di KM1.0 laluan menghala ke Seberang Perai.

"Kesesakan menyebabkan kenderaan bergerak perlahan sejak pagi tadi dan sehingga petang ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sementara itu, beberapa kawasan di sekitar Bukit Mertajam, Juru dan Butterworth di Seberang Perai turut dilanda banjir kilat.

Tinjauan mendapati di Bukit Mertajam, antara kawasan yang dinaiki air antara 0.5 hingga 1 meter ialah Kebun Sirih, persimpangan Bandar Perda, Jalan Padang Lalang, Desa Damai, Taman Sungai Rambai, Alma, Jalan Permatang Tinggi dan Jalan Permatang Pauh.

Penduduk di kawasan berkenaan terpaksa memindahkan barang terutama barangan elektrik sejak pukul 6.30 pagi tadi selepas rumah mereka dinaiki air sedalam satu meter.

Seorang mangsa, Fairul Anuar Osman, 27, yang tinggal di Kebun Sireh berkata beliau menyedari air masuk ke rumahnya selepas dikejutkan oleh jirannya.

"Kami sekeluarga bangun dan mendapati air memasuki ruang dapur rumah sehingga paras lutut lalu bergegas memindahkan peralatan elektrik dan dokumen penting ke tempat selamat," katanya.

Di Juru beberapa kawasan yang dilanda banjir kilat ialah Perkampungan Juru, Taman Desa Juru, Taman Pinang, Taman Mangga, Taman Seri Delima dan Taman Sentul Jaya.

Seorang penduduk di pangsapuri Taman Seri Delima, Shahrul Razin Abu Bakar, 35, berkata hujan lebat sekitar jam 6.30 pagi menyebabkan kawasan yang tidak pernah dilanda banjir turut dinaiki air dan banyak kenderaan yang di tempat letak kereta di luar pangsapuri itu dimasuki air.

Jurucakap polis berkata, setakat ini tiada penduduk yang dipindahkan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain