suria

Amalkan Cara Hidup Sihat, Jalani Pemeriksaan Kesihatan Berkala:Rosmah

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor meminta rakyat negara ini menyedari kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan amalan hidup sihat sejak usia muda bagi mencegah penyakit jantung.

Beliau berkata pakar perubatan dan kajian Kementerian Kesihatan mendapati kebanyakan pesakit jantung adalah mereka yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, termasuk aktif merokok.

Katanya, langkah pencegahan awal harus diambil kerana penyakit itu kini menjadi masalah global tanpa mengenal usia serta menyerang negara miskin dan sedang membangun di rantau Asia Tenggara, yang mencatatkan peningkatan kematian secara mendadak.

Rosmah berkata demikian pada majlis pelancaran buku My Heart My Health dan Kad Kesihatan Jantung yang diedarkan percuma oleh Pertubuhan Profesional Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (Moshpa) dengan kerjasama Institut Jantung Negara di sini malam Khamis.

Beliau memuji usaha Moshpa memperkenalkan Program Penilaian Awal Risiko Penyakit Jantung sebagai satu metodologi mengurangkan risiko kematian akibat penyakit itu.

Moshpa adalah peneraju pertubuhan bukan kerajaan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia. Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain