suria

Tiada Penyelewengan Tender Di Selangor - MB

SHAH ALAM: Siasatan Kerajaan Negeri Selangor mendapati tidak wujud dakwaan kononnya terdapat penyalahgunaan kontrak menggunakan nama syarikat bumiputera sebelum diserahkan kepada DAP.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perkara tersebut turut disahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendapati tiada bukti kukuh yang dikemukakan mengenainya.

“Kita sudah memantau perkara ini namun ia terpulang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menentukan supaya kontrak tersebut dilaksanakan oleh syarikat yang mendapat kontrak tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock minggu lalu bahawa seorang kontraktor, Lee Wye Wing didakwa memperoleh kebanyakan projek kecil bagi kawasan Dewan Undangan (DUN) Negeri Seri Kembangan dan Kampung Tunku yang sepatutnya diberi kepada kontraktor bumiputera dengan bantuan anak saudaranya, Lee Khee Heong.

Peguam yang mewakili SPRM, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah turut mendakwa saksi itu mempergunakan nama-nama syarikat kontraktor bumiputera bagi memperoleh projek tersebut sedangkan keuntungan diperoleh syarikatnya.

Sementara Teoh pula turut memainkan peranan sebagai orang tengah dalam menentukan sebut harga bagi projek-projek yang diluluskan untuk disampaikan kepada ketuanya, ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Dalam perkembangan lain, mengenai kes saman pemula yang dikemukakan oleh peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun ke atas Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim, Abdul Khalid berkata pihaknya sedia berhadapan dengan pihak tersebut di mahkamah nanti.

"Kes ini antara Speaker dan peguam. Semua sudah sedia untuk berhadapan dengan kes ini di mahkamah.

"Namun Badrul Shahrin (Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang) perlu hadir ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk memberikan kenyataan," katanya.

Mohd Hafarizam pada Selasa mengemukakan saman pemula bagi mencabar saman yang diterimanya untuk hadir ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Beliau memfailkan saman pemula tersebut di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi menamakan tiga defendan dalam saman tersebut yang dimulakan dengan DUN Selangor, Setiausaha Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Mohamad Yasid Bidin serta DUN jawatankuasa tersebut.

Berdasarkan penyata tuntutannya, Mohd Hafarizam mendakwa DUN Selangor telah meluluskan usul nombor 7, tahun 2011 untuk beliau dan Badrul Hisham dirujuk kepada jawatankuasa terbabit untuk satu pertuduhan sama ada secara bersama atau berasingan atas tuduhan menghina dewan.

Kesalahan menghina dewan itu didakwa dilakukan dengan tindakan plaintif menghantar surat bertarikh 29 Mac lalu kepada Speaker DUN, yang dikatakan menggunakan bahasa yang tidak senonoh, biadab dan mengugut.

Artikel Lain