suria

SPRM Tidak Sebelahi Mana-mana Pihak

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menyebelahi mana-mana parti politik dalam membanteras gejala rasuah di negara ini, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata sekiranya menemui bukti kukuh dalam siasatan terhadap mana-mana individu sama ada dari parti pemerintah atau pembangkang, suruhanjaya itu tidak akan teragak-agak membawa individu terbabit ke muka pengadilan.

"Bagi kami, rasuah membabitkan kepentingan rakyat tidak kira apa fahaman politik sekalipun. Jadi dakwaan bahawa SPRM menyebelahi pihak kerajaan dalam siasatan dan dakwaan kes rasuah adalah tidak benar sama sekali," katanya dalam wacana 'Rasuah Pemusnah Tamadun' di Auditorium Karangkraf di sini petang Rabu.

Turut menjadi panel dalam wacana anjuran Karangkraf itu ialah pengasas Gerakan Rakyat Anti Korupsi Senator Ezam Mohd Nor, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta pengasas ESQ Leadership Centre, Dr Ary Ginanjar.

Mengambil contoh Selangor, Abu Kassim berkata sepanjang pemerintahan bekas-bekas Menteri Besar seperti Datuk Harun Idris, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Dr Mohamad Khir Toyo, negeri itu sentiasa dalam siasatan SPRM.

Bagaimanapun, beliau berkata apabila negeri itu kini ditadbir oleh Pakatan Rakyat, siasatan yang dilakukan oleh SPRM membabitkan beberapa kes rasuah telah dipersoalkan.

"Kenapa sekarang tidak boleh (disiasat)? Ia hanya siasatan, bukan dituduh," katanya.

Abu Kassim berkata siasatan terhadap beberapa pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dalam operasi 3B baru-baru ini adalah bukti ketelusan SPRM dalam menjalankan tugas.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap beberapa pihak yang mendakwa SPRM gagal mengheret ramai golongan ternama terutama di kalangan parti pemerintah ke muka pengadilan berkaitan jenayah rasuah.

Katanya semua pihak harus faham bahawa setiap siasatan tidak semestinya berakhir dengan pendakwaan di mahkamah jika tidak mempunyai bukti dan keterangan mencukupi untuk mensabitkan individu atau kumpulan tertentu dengan rasuah.

"SPRM juga pernah dikecam hebat kerana tidak menjalankan siasatan terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud kerana memiliki kekayaan peribadi luar biasa sedangkan kami sudah menyiasat kes itu sebanyak sembilan kali dan berulang kali menjelaskannya di Parlimen," katanya.

Abu Kassim turut menafikan dakwaan Mohammad Nizar bahawa SPRM telah menutup siasatan kes pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa membabitkan pembayaran komisen bernilai kira-kira 114 juta euro kepada syarikat di Malaysia.

"Kita masih menyiasat, siapa kata sudah ditutup (kes)? SPRM without fear and favour akan tetap jalankan siasatan," katanya.

Ketika ditanya perlu atau tidak SPRM mendedahkan siasatannya di media, Abu Kassim berkata selagi kes masih dalam siasatan pihaknya tidak boleh mendedahkannya, tidak kira siasatan membabitkan individu dari pihak parti pemerintah atau pembangkang.

Ezam pula berkata usaha untuk membanteras rasuah memerlukan pengorbanan yang besar dan beliau turut mencadangkan agar SPRM menjadi lebih kreatif dalam menghukum pesalah rasuah.

"Nak kumpul bukti itu susah dan kita cadangkan dalam kaedah hukum kita perluaskan seperti menggunakan akta-akta lain seperti Akta Cukai Pendapatan 1967 di mana kita boleh lihat lifestyle seseorang individu itu. Burden of proof is too high jadi tidak mustahil untuk SPRM turut menggunakan akta lain," katanya.

Mohammad Nizar pula mencadangkan agar setiap ketua organisasi di negara ini seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik oleh Parlimen bagi mempastikan ketelusan dan keadilan dalam tugas masing-masing.

Manakala Dr Ary mencadangkan agar semua parti politik di Malaysia termasuk pembangkang mengetepikan fahaman politik masing-masing dan bersatu dalam melaksanakan usaha membanteras jenayah rasuah.

"Apapun yang paling penting ialah kembali kepada ajaran Islam itu sendiri dan sekiranya pegangan agama kukuh, gejala rasuah tidak akan berlaku kerana kita hidup dalam kejujuran dan keimanan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain