suria

Polis Tahan Dua Lelaki Dan Pasangan Suami Isteri, Rampas 4.7 Kilogram Heroin

GEORGE TOWN: Polis menahan dua lelaki dan pasangan suami isteri serta merampas 4.7 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM250,000 dalam serbuan di kawasan tempat letak kereta sebuah pasaraya besar di Alma, Bukit Mertajam di sini Rabu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata kesemua mereka berusia antara 63 dan 37 tahun itu ditahan pada 3.25 petang oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJ NPulau Pinang.

"Hasil maklumat awam dan risikan sejak sebulan lepas, pasukan JSJN Bukit Aman dan Pulau Pinang berjaya mengesan sindiket pengedaran dadah berkenaan di kawasan letak kereta terbabit.

"Semasa serbuan, kita menahan dua orang di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira dan hasil pemeriksaan polis menemui 4.7 kilogram dadah jenis heroin berkenaan,"katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Turut hadir Ketua JSJ NPulau Pinang Supt S. Batumalai.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis berjaya menahan dua lagi rakan mereka yang turut berada di kawasan pasar raya berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kesemua mereka termasuk sepasang suami isteri yang ditahan itu adalah anggota sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar negeri ini sejak beberapa bulan lepas," katanya.

Mereka dipercayai berada di kawasan tempat letak kereta berkenaan untuk urusan jual beli dadah, katanya.

Abdul Rahim berkata setelah menjalankan siasatan lanjut, polis dibawa ke sebuah rumah milik salah seorang daripada mereka yang ditahan dan polis menemui wang tunai dalam mata wang Malaysia dan asing bernilai RM137,595 dan sejumlah barang kemas bernilai RM16,545.

"Suami isteri yang ditahan itu tidak bekerja manakala lelaki berumur 63 tahun itu bekerja sebagai penjaga kedai komputer dan seorang lagi merupakan peniaga," katanya dan menurutnya dua daripada mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

Beliau berkata kesemua mereka kini direman sehingga 4 Mei ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah. -BERNAMA

Artikel Lain