suria

PDRM Hubungi Pihak Berkuasa New Zealand Ekoran Penangkapan 10 Rakyat M'sia

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan rakan mereka dari New Zealand untuk mengetahui bagaimanakah 10 rakyat Malaysia yang ditahan di negara itu kerana cuba membawa masuk syabu bernilai RM24 juta melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland dapat membawa keluar dadah tersebut tanpa dapat dikesan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, Interpol di sini dan juga Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah menghubungi rakan sejawatan mereka dari New Zealand untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

“Mereka (pihak berkuasa New Zealand) telah memaklumkan kepada kita tentang penahanan itu, tetapi kita tidak memperolehi maklumat lengkap berhubung perkara itu. Tetapi yang kita hendak tahu ialah bagaimanakah mereka dapat menembusi pemeriksaan di sini tanpa dapat dikesan," katanya dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Bukit Aman, Khamis.

Pada Selasa, pihak berkuasa New Zealand telah menahan lapan lelaki dan dua wanita dari Malaysia yang menyamar sebagai pelancong berkumpulan selepas menemui hampir 1 kg syabu yang disembunyikan di dalam kasut mereka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland.

Nilai dadah tersebut di jalanan adalah dianggarkan RM2.4 juta sekilo.

Ahad lalu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem dipetik sebagai berkata, hampir separuh daripada 1,880 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara adalah melibatkan kes percubaan menyeludup masuk dadah.

Sebahagian besar daripada mangsa-mangsa ini dijadikan keldai dadah selepas berkawan dengan agen sindiket dadah melalui rangkaian sosial Facebook.

Artikel Lain