suria

Malaysia, China Perkukuh Kerjasama Pengajian Tinggi Dan Pelancongan

PUTRAJAYA: Malaysia dan China pada Khamis bersetuju bekerjasama lebih rapat khususnya dalam bidang pengajian tinggi, pelancongan dan perubatan tradisional Cina.

Ia dicapai hasil rundingan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari China, Wen Jiabao, di sini Khamis.

"Perbincangan sangat produktif serta berhasil, dan kita mencapai persetujuan meluas selaras dengan pelan tindakan bersama mengenai kerjasama strategik yang ditandatangani pada 2009," kata Najib pada sidang akhbar bersama dengan Wen, yang berada di sini untuk lawatan dua hari bagi membalas kunjungan Najib ke China dua tahun lepas.

Ini merupakan lawatan kedua Wen ke Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak Asean-China pada 2005.

Mengenai bidang pengajian tinggi, Najib berkata Perjanjian Pengiktirafan Bersama yang ditandatangani hari ini antara Malaysia dan China, akan menjadi pemangkin ke arah meningkatkan lagi pertukaran penuntut antara kedua-dua negara.

"Perdana Menteri Wen mencadangkan supaya tahun depan 100 penuntut Malaysia melawat China dan 100 penuntut China berkunjung ke Malaysia, dan kita setuju dengan cadangan beliau ini," katanya.

Dalam bidang pelancongan, Perdana Menteri berkata, semakin ramai rakyat China melawat Malaysia dan ini merupakan satu perkembangan baik.

Tahun lepas, 1.1 juta pelancong dari China melawat Malaysia.

Najib berkata Wen bersetuju dengan cadangan Malaysia supaya sebuah pusat kecemerlangan perubatan tradisional Cina ditubuhkan di Malaysia.

Kerajaan China akan menyediakan apa saja bantuan yang sesuai kepada pusat itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain