suria

Kerajaan Telus Laksana AES Kurangkan Kemalangan Maut - Abdul Rahim

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata unsur ketelusan akan menjadi elemen penting dalam pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata kesemua 566 kamera statik yang dipasang di lokasi yang selalu berlaku kecelakaan atau 'blackspot' dan 266 kenderaan penguatkuasa elektronik bergerak akan menggunapakai peraturan operasi yang sama.

Ini termasuk pemasangan papan tanda amaran beberapa meter di hadapan bagi membolehkan pemandu mengetahui kewujudan kamera perangkap laju seperti yang biasa dilaksanakan di beberapa negara lain termasuk Singapura, katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Abdul Rahim berkata sesuatu saman yang dikeluarkan adalah berasaskan gambar yang ditangkap oleh pemegang konsensi sumber luar wajib diverifikasi oleh agensi penguatkuasa iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan sebelum notis saman dikeluarkan oleh agensi terbabit dan bukan oleh syarikat sumber luar seperti didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata sistem yang beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini itu dijangka akan meningkatkan persepsi keberangkalian ditangkap ke tahap 90 peratus dan mengekang pemandu laju yang menjadi punca utama berlakunya kemalangan laut. - BERNAMA

Artikel Lain