suria

PM Lakukan Lawatan Kerja Sehari Ke Terengganu Sabtu Ini

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Terengganu Sabtu ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata Najib dan isteri dijangka tiba di lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu pada 8.30 pagi, terus ke Pekan Batu Enam untuk bersarapan pagi bersama penduduk di situ.

Sementara Rosmah akan ke daerah Dungun bagi menghadiri majlis perasmian Program Turun Padang Pandu Puteri Negeri Terengganu.

"Selepas minum pagi, Najib kemudian ke Kampung Pengkalan Arang tidak jauh dari situ untuk bergotong royong membaiki rumah orang miskin dan melawat keluarga Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya selepas mempengerusikan mesyaurat Exco kerajaan negeri di sini Rabu.

Ahmad berkata, Najib seterusnya ke tapak cadangan pasar baru Bukit Tunggal sebelum ke Manir dalam Parlimen Hulu Terengganu untuk bertemu doktor masyarakat di Kampung Pulau Bahagia dan diikuti jamuan rakyat yang melibatkan 10,000 tetamu.

Katanya, Najib kemudiannya berlepas ke Ri-Yaz Heritage and Spa di Pulau Duyong untuk melancarkan projek rumah mampu milik diikuti perjumpaan dengan rakan facebook beliau sebelum bertemu wakil rakyat, anggota Parlimen dan ketua Umno bahagian secara tertutup.

Beliau berkata Najib mengakhiri lawatan yang padat di Terengganu dengan menghadiri jamuan rakyat melibatkan 20,000 tetamu bertempat di Dataran Shahbandar di sini dan dijangka berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada 11.30 malam.

"Lawatan itu merupakan program Najib turun ke setiap negeri antaranya untuk tinjau pembangunan yang sedang dan akan berjalan serta permasalahan yang berlaku di sesebuah negeri dan apakah tindakan yang akan diambil.

"Dalam masa yang sama mungkin ada bantuan yang akan disalurkan sempena lawatan itu dan kerajaan negeri sendiri ada permohonan supaya dapat disalurkan peruntukan pembangunan dan sebagainya dan sudah tentu besar faedahnya," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain