suria

Pengeluar Robot Terbesar Dunia Lancar Produk Baru

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar robot terbesar dunia, Kuka Robot Automation (Malaysia) Sdn.Bhd akan melancarkan generasi produk baru yang lebih selamat dan cekap pada pameran MetalTech 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 4 hingga 8 Mei depan.

Produk yang dilengkapi sistem siri robot QUANTEC, landasan perisian Kuka.WorkVisual dan pengawal robot KR C4 itu menyediakan pelbagai aplikasi baru yang dapat dilaksanakan dengan teknologi 'Robot Selamat' ciptaan syarikat tersebut.

Pengarah Urusan Kuka Robot Automation (Malaysia) Sdn.Bhd, Mun Chee Yin berkata syarikat perintis robot itu mengambil pendekatan lebih sistematik terhadap pengawalan keselamatan dengan seni bina kawalan KR C4.

"Konsep 'Robot Selamat' mengurangkan ruang pengeluaran, memudahkan stesen muatan manual tanpa memerlukan peralatan keselamatan tambahan dan mengawal kerjasama secara langsung antara manusia dengan mesin," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Menurutnya, teknologi itu membabitkan penggunaan gandingan bahan dan proses pengilangan baru dalam usaha mempromosikan teknologi hijau.

"Proses yang memerlukan kerjasama rapat antara manusia dan mesin dalam tugasan pemasangan rumit kini lebih selamat menerusi teknologi yang diguna pakai syarikat ini," jelasnya.

Chee Yin berkata keringkasan merupakan faktor utama yang perlu dititik-beratkan dalam pembangunan masa depan bidang robotik.

"Dengan konsep automasi yang mudah dan mampu dilaksanakan menerusi produk generasi baru, kami memperkenalkan penyelesaian mesra pengguna untuk memenuhi keperluan khusus pelanggan," ujarnya.

Sebagai peneraju teknologi dari Jerman, Mun memberitahu syarikat itu mementingkan kaedah pengeluaran produk mesra alam dan sistematik tanpa memberi kesan sampingan kepada alam sekitar.

"Kami menetapkan matlamat untuk mencapai pengeluaran lestari dengan kesan minumum terhadap sumber semula jadi," tambahnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain