suria

Kerajaan Belum Cadang Lupus Kenderaan Lebih 15 Tahun

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk melupuskan semua kenderaan yang melebihi usia 15 tahun kerana belum mempunyai mekanisme pelupusan yang sesuai.

Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat berkata kerajaan juga perlu mendapatkan pandangan daripada badan bukan kerajaan dan orang ramai terlebih dahulu sebelum pelupusan kenderaan itu dapat dikuatkuasakan

"Walaupun penggunaan kenderaan lama ini dibenarkan, kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak polis sentiasa menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan kenderaan tersebut berada dalam keadaan 'roadworthy'.

"Selain penguatkuasaan, aspek pendidikan juga diberi penekanan dengan menjalankan operasi untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya keadaan kenderaan yang 'roadworthiness' bagi menjamin keselamatan pengguna itu sendiri dan orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Negara, di sini, Selasa.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Heng Seai Kie berkata 16 daripada 25 kementerian dan 12 daripada 52 jabatan kerajaan telah menubuhkan taska di tempat kerja.

Heng berkata tiga kementerian dan 19 jabatan kerajaan pula menggunakan taska secara berkongsi dengan kementerian yang lain, manakala enam kementerian dan 21 jabatan kerajaan masih lagi belum menubuhkan taska di tempat kerja.

"Kerajaan menyediakan geran penubuhan taska bagi sektor awam sebanyak RM200,000 yang boleh dipohon secara terus daripada Kementerian Kewangan bagi menggalakkan penubuhan taska khususnya di sektor awam. "Bagi sektor swasta pula kerajaan juga memberikan insentif berbentuk potongan cukai sebanyak 10 peratus daripada kos penubuhan taska selama 10 tahun untuk menggalakkan mereka menubuhkan taska ditempat kerja," katanya.

Persidangan dewan disambung esok. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain