suria

Kaunter SUKAGUAM Terima Aduan Penipuan RM1 Juta

PETALING JAYA: Program Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SUKAGUAM) semakin mendapat perhatian apabila seorang lelaki berusia 30-an mendakwa ditipu sebanyak RM1 juta oleh seorang wanita yang berselindung di sebalik skim saham istimewa.

Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, mangsa yang mengadu kepada SUKAGUAM baru-baru ini buntu dengan kejadian itu dan hadir untuk meminta nasihat guaman.

Katanya, kes berkenaan antara yang terbesar yang dirujuk kepada pihaknya selepas program itu dilancarkan dua minggu lalu.

Menurutnya lagi, aduan itu adalah antara kejayaan besar buat SUKAGUAM dan bukti masih ramai masyarakat yang tidak mengetahui hak mereka sebagai rakyat apabila ditimpa masalah terutama berkaitan dengan hal perundangan.

"Kejadian yang menimpa mangsa melibatkan jumlah wang yang sangat banyak dan pengadu buntu untuk menyelesaikan masalahnya.

"Kaunter SUKAGUAM sedikit sebanyak dapat membantu mangsa untuk merancang tindakan yang boleh diambil terhadap pihak yang menipunya," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Dalam pada itu, Khairul berkata, pihaknya gembira dengan sambutan luar biasa daripada masyarakat dan setakat ini 158 kes telah dirujuk kepada mereka.

"Jumlah itu amat memberangsangkan dan 60 peratus daripada aduan adalah berhubung masalah syariah seperti tuntutan nafkah tertunggak, masalah wasiat dan isu mengenai kekeluargaan.

"Selebihnya adalah berkaitan kes sivil seperti penyelewengan, penindasan dan aduan terhadap pihak berkuasa tempatan," katanya.

Sementara itu, Khairul berkata, program yang diadakan dua kali sebulan iaitu pada setiap Jumaat minggu kedua dan ketiga akan diteruskan pada Jumaat ini bertempat di Restoran Ali Maju, Bandar Baru Rawang dekat sini.

Program yang akan pada pukul 3 hingga 6 petang turut akan disertai tujuh peguam berpengalaman membantu dan memberi khidmat nasihat guaman kepada orang ramai yang datang ke restoran itu.

"Selain khidmat nasihat guaman, makanan dan minuman turut disediakan oleh Restoran Ali Maju kepada orang ramai yang hadir," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain