suria

Stesen Sentral KL Penanda Aras Hab Pengangkutan Awam Yang Berjaya

KUALA LUMPUR: Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL) sudah menjadi penanda aras hab pengangkutan awam yang berjaya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, kini semua kos operasi konsesi Stesen Sentral KL telah berjaya ditampung sepenuhnya oleh aktiviti komersial yang dijana di dalam stesen itu.

Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) melalui anak syarikatnya Semasa Sentral Sdn Bhd mengurus operasi stesen ini.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada MRCB dan Semasa Sentral Sdn Bhd kerana berjaya menguruskan Stesen Sentral KL ini dengan jaya tanpa perlu bantuan kewangan terus dari kerajaan," katanya dalam ucapan merasmikan sambutan ulang tahun ke-10 Stesen Sentral KL, di stesen tersebut, di sini, Isnin.

Muhyiddin berkata, jumlah pengguna stesen itu secara purata adalah 140,000 orang sehari berbanding hanya 50,000 orang pada awal pembukaannya 10 tahun dahulu.

"Kini dengan rangkaian dan integrasi transit yang lebih baik, Stesen Sentral KL telah menjadi bahagian utama "nexus" yang amat kritikal untuk para pengguna pengangkutan awam di Kuala Lumpur," katanya.

Muhyiddin berkata, MRCB akan menyambungkan Stesen Monorel KL Sentral dengan Stesen Sentral KL dan apabila projek itu siap yang dijangka pada Julai 2012, akan membolehkan penumpang bergerak dengan lebih selesa di antara kedua-dua stesen ini.

Beliau juga berkata, inisiatif MRCB amat bertepatan dalam mendukung usaha kerajaan meningkatkan sasaran penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang menjelang 2012 kepada 25 peratus daripada 17 peratus pada 2010.

Kata Muhyiddin, beliau bersyukur kerana Semasa Sentral Sdn Bhd yang diamanahkan oleh kerajaan untuk mengurus dan menyelenggara stesen itu telah berjaya melaksanakan "Konsep Bersepadu" di mana ia bukan sekadar sebuah stesen kereta api malah sebuah "bandar dalam bandar" yang menyediakan tempat makan, gedung runcit, bank dan kemudahan lain yang bersesuaian untuk keselesaan pengguna dan penghuni pejabat korporat berdekatan.

Menurut Muhyiddin, ini adalah selari dengan keperluan metropolis saban hari seperti di Hong Kong dan Singapura yang memerlukan pembangunan ditumpukan di sekeliling hab pengangkutan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Katanya lagi, peluang pengurusan hab pengangkutan awam dijangka muncul lebih banyak dalam dekad ini, dan menurutnya jururunding McKinsey menganggarkan negara-negara di Asia dijangka membelanjakan kira-kira US$2.5 trilion untuk sistem pengangkutan sahaja di antara 2010 dan 2020.

"Antara infrastruktur terbabit adalah hab pengangkutan multi modal seperti yang kini beroperasi di KL Sentral," katanya.

Jelas Muhyiddin, untuk memastikan negara kekal membangun, Malaysia pada hari ini harus menyediakan asas pertumbuhan ekonomi dengan membina infrastruktur pengangkutan yang diperlukan oleh ekonomi abad ke-21.

"Dan pembangunan secara meluas adalah amat kritikal untuk mengelakkan kekangan produktiviti masa depan," katanya.

Menurut beliau, peranan keseluruhan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) tidak dapat dinafikan kerana impak penggandaan ekonomi yang tinggi sebagai satu "High Velocity Item" yang memanafaatkan semua segmen ekonomi.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata, langkah penambahbaikan infrastruktur dan usaha untuk mengintegrasikan hab pengangkutan akan menentukan sama ada Greater Kuala Lumpur akan muncul sebagai metropolis bertaraf dunia setaraf dengan London, New York dan Tokyo ataupun tidak.

Katanya, risiko kesesakan bandar dan pencemaran adalah masalah yang akan timbul juka infrastruktur pengangkutan tidak berkembang selaras dengan pembangunan negara.

Artikel Lain