suria

Pertahan Jawatan: Nasharuddin Belum Buat Keputusan

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa masih belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan jawatannya atau tidak pada pemilihan parti Jun ini.

Menurutnya, keputusan tersebut akan diumumkan selepas tarikh pencalonan ditutup pada 15 Mei depan.

“Masih terlalu awal untuk buat keputusan kerana pencalonan masih lagi berlangsung. Sama ada saya layak atau tidak terpulang kepada pencalonan yang diterima kelak,” katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok menyandang jawatan tersebut sejak tahun 2007.

Muktamar Tahunan PAS ke-57 akan berlangsung pada 3 hingga 5 Jun ini merupakan medan penting bagi parti itu bagi menentukan masa depan parti dalam arena politik negara.

Pada pemilihan 2009, Nasharuddin dicabar oleh dua bekas Naib Presiden iaitu, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Husam memperoleh 281 undi berbanding Nasharuddin yang mendapat 480 undi untuk mengekalkan jawatan yang disandangnya sejak 2007. Sementara Mohamad Sabu pula hanya mendapat 261 undi.

Setakat ini, Mohamad Sabu yang lebih dikenali dengan gelaran Mat Sabu telah menyatakan pendirian untuk mencabar Nasharuddin untuk bertanding jawatan nombor dua PAS itu.

Pemilihan PAS pusat pada tahun ini dijangka menarik perhatian ramai kerana terdapat cakap-cakap kononnya Nasharuddin tidak akan mempertahankan jawatannya.

PAS mempunyai 179 kawasan di seluruh negara dan setiap kawasan perlu menghantar pencalonan untuk jawatan tertinggi PAS pusat iaitu, presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli jawatankuasa PAS pusat

Artikel Lain