suria

Peguam Fail Saman Pemula Cabar Saman Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor

SHAH ALAM: Seorang peguam yang pernah mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham memfailkan saman pemula bagi mencabar saman yang diterimanya untuk hadir ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Datuk Mohd Hafarizam Harun, memfailkan saman pemula tersebut di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada petang Selasa, menerusi peguam daripada firma guamannya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak ((HWAM).

Selaku plaintif, Mohd Hafarizam menamakan tiga defendan dalam saman tersebut yang dimulakan dengan DUN Selangor, Setiausaha Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Mohamad Yasid Bidin serta DUN jawatankuasa tersebut.

Berdasarkan penyata tuntutannya, Mohd Hafarizam mendakwa DUN Selangor telah meluluskan usul nombor 7, tahun 2011 untuk beliau dan Badrul Hisham dirujuk kepada jawatankuasa terbabit untuk satu pertuduhan sama ada secara bersama atau berasingan atas tuduhan menghina dewan.

Kesalahan menghina dewan itu didakwa dilakukan dengan tindakan plaintif menghantar surat bertarikh 29 Mac lalu kepada Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim yang dikatakan menggunakan bahasa yang tidak senonoh, biadab dan mengugut.

Dakwa plaitif lagi, saman daripada jawatankuasa itu diterima pada 12 April lalu dan beliau diminta untuk menghadirkan diri pada Jumaat ini, dan jika gagal, berdasarkan Seksyen 3, Enakmen Penghinaan Dewan 2008, ia merupakan satu kesalahan dan jika disabitkan boleh dipenjarakan tidak lebih setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa surat yang menjadi isu dalam saman tersebut adalah surat tuntutan yang dikeluarkan kepada firma guaman yang mewakili Teng, bagi menuntut bayaran kos RM40,000 yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, dalam saman pemula yang difailkan oleh Badrul Hisham terhadap Teng berhubung kedudukannya sebagai ADUN. Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi di sini pada keputusannya berpihak kepada Badrul Hisham dan memutuskan bahawa Badrul Hisham kekal sebagai ADUN di kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum 2008 kerana kerusi tersebut tidak pernah kosong seperti yang diisytiharkan oleh Teng.

Dakwa Hafarizam, surat tuntutan itu bertarikh 29 Mac lalu atas tandatangannya dikeluarkan atas arahan Badrul Hisham selaku anak guamnya.

Justeru itu, Hafarizam menuntut suatu deklarasi bahawa saman yang dikeluarkan oleh defendan pertama dan kedua adalah terbatal dan tidak terpakai kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa saman tersebut adalah ultra vires (melampaui batasan undang-undang) dan deklarasi bahawa beliau tidak perlu menghadirkan diri ke perbicaraan jawatankuasa tersebut seperti yang dinyatakan dalam saman.

Selaku pengamal undang-undang, Hafarizam juga menuntut deklarasi bahawa beliau berhak untuk melaksanakan tanggungjawabnya tanpa perasaan takut dan berat sebelah, termasuk dalam tindakannya mengeluarkan surat tuntutan yang tidak boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap dewan.

Sementara itu, Hafarizam yang ditemui berkata, saman tersebut akan didengar pada Jumaat ini di hadapan Hakim datuk Zaleha Yusof.

"Kes akan didengar pada pukul 9 pagi, maka saya ada alasan untuk tidak menghadiri jawatankuasa tersebut yang juga akan bersidang pada masa yang sama," katanya sambil tersenyum.

Hafarizam juga menyifatkan dakwaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang melabel beliau sebagai peguam UMNO sebagai satu kenyataan politik.

"Bila saya periksa semula Akta Profesion Undang-Undang 1976 saya tidak melihat definasi peguam UMNO, yang ada hanya definisi peguam cara dan peguam bela Mahkamah Tinggi Malaya," katanya.

Hafarizam juga menyeru Majlis Peguam untuk menyatakan pendirian mereka terhadap permohonan yang difailkannya, atas kapasiti badan tersebut sebagai badan yang menjaga kebajikan peguam-peguam.

"Saya hanya menjalankan tugas sebagai peguam dan hanya menuntut kos bagi pihak anak guam dan tiba-tiba saya pula yang dikenakan tindakan," katanya.

Artikel Lain