suria

Mat Sabu Perlu Sokongan Kuat Ahli Parti Cabar Timbalan Presiden PAS

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu sedia mencabar Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa pada pemilihan parti itu Jun ini sekiranya memperoleh sokongan kuat daripada ahli parti.

“Setakat ini saya sedia berkhidmat untuk parti, saya akan sedia bertanding jika sokongan yang saya terima kuat.

“Masih ada masa lagi, kerana tarikh pencalonan masih dibuka hingga 15 Mei ini,” katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Mohamad berkata keputusan untuk bertanding jawatan nombor dua dalam parti itu dibuat bagi memperkukuhkan perpaduan dalam PAS dan membantu Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya mahu memberi kefahaman mengenai demokrasi kepada rakyat supaya mereka dapat mengamalkannya di Malaysia,” katanya.

Pada pemilihan PAS dua tahun lalu, Mohamad bersama bekas Naib Presiden, Datuk Husam Musa tewas kepada Nasharuddin dalam saingan tiga penjuru.

Nasharuddin mendapat 480 undi, Husam (281) dan Mohamad memperolehi 261 undi.

Mengulas mengenai jumlah pencalonan kawasan yang diterimanya setakat ini, Mohamad berkata, beliau belum membuat tinjauan menyeluruh berhubung perkara itu.

“Setakat yang saya tahu pencalonan yang diterima sudah cukup untuk bertanding. Bagaimanapun saya mahu lihat sokongan di peringkat akar umbi terlebih dahulu.

“Pertandingan dalam PAS bukan perkara baru kerana sejak dulu lagi kita ada pemilihan. Menang kalah itu soal kedua yang penting perpaduan serta elakkan perpecahan dalam parti,” katanya.

PAS mempunyai 179 kawasan di seluruh negara dan setiap kawasan perlu menghantar pencalonan memilih pucuk pimpinan parti hingga 10 Mei ini.

Difahamkan setakat ini, Mohamad telah menerima tiga pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden.

Pencalonan itu diperoleh daripada tiga kawasan iaitu Kubang Kerian, Bukit Bintang dan Muar.

Muktamar Agung PAS yang ke-57, yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 Jun ini dijangka menarik perhatian pemerhati politik kerana ada cakap-cakap kononnya, Nasharuddin akan mempertahankan jawatannya.

Hingga kini, Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok belum lagi mengumumkan pendiriannya sama ada akan mempertahankan jawatan atau sebaliknya.

Artikel Lain