suria

Kerajaan Pastikan Rumah Mampu Milik Dibina Di Kawasan Strategik - Lajim Ukim

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan semua rumah mampu milik yang dirancang tidak dibina di kawasan kurang strategik seperti di tempat terpencil, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Lajim Ukin.

Beliau berkata semua faktor terutamanya kehendak serta keperluan asas seperti kemudahan hubungan, bekalan air dan elektrik akan dipastikan tersedia di kawasan itu sebelum sebarang projek perumahan itu dilaksanakan.

"Sebenarnya jika rumah-rumah itu dibina oleh kerajaan sama ada kerajaan negeri atau persekutuan kajian awal tentang lokasi, kemudahan prasarana seperti jalan raya, elektrik dan air akan dilakukan terlebih dahulu.

"Kita tidak akan membina rumah-rumah berkenaan di kawasan-kawasan yang terpencil sebab kita tahu ia tidak akan dibeli dan disewa oleh bakal pembeli," katanya menjawab soalan Senator Datin Paduka Nor Hayati Onn pada persidangan Dewan Negara pada Selasa.

Nor Hayati ingin tahu apakah kerajaan sedar tentang banyak rumah kos rendah di bina di kawasan kurang strategik serta pendekatan alternatif kementerian untuk mengatasi kemelut lambakan rumah tidak terjual di kawasan itu. Bagi mengatasi masalah rumah mampu milik yang sering dilabelkan sebagai rumah orang miskin, Lajim berkata kerajaan memastikan reka bentuk setiap rumah yang dibina menarik dan terkini.

Perubahan reka bentuk itu perlu kerana kementerian mahu mengubah persepsi masyarakat bahawa apabila tinggal di rumah kos rendah atau Program Perumahan Rakyat (PPR) adalah golongan miskin.

Lajim berkata pendekatan lain yang ditekankan adalah memastikan setiap rumah mampu milik yang dibina mempunyai lanskap dan panorama menarik selain penyediaan taman untuk kanak-kanak.

Sehingga kini, sebanyak 83,376 unit rumah mampu milik dibina di seluruh negara, yang daripada jumlah itu 63,166 telah disiapkan, 15,800 dalam pembinaan dan 4,410 unit masih dalam perancangan dengan pembinaannya dijangka bermula selewat-lewatnya Julai depan. -BERNAMA

Artikel Lain