suria

Empat Lelaki Dipenjara Dan Didenda Kerana Rasuah Pegawai Rela

KUALA LUMPUR: Empat lelaki, tiga daripadanya warganegara asing dipenjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada pegawai RELA untuk membebaskan saudara mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman tersebut terhadap Nazmul Haques Late SK. Reazul, 36, warganegara Bangladesh dan seorang warganegara Indonesia yang memiliki taraf penduduk tetap (PR) Agoosahari Suriman 50.

Bagaimanapun Rozilah memerintahkan penjara tambahan lima bulan setiap seorang sekiranya gagal membayar denda itu.

Beliau berkata mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah yang telah menjimatkan masa semua pihak. Bagaimanapun beliau mengingatkan kesalahan jenayah rasuah adalah serius dan tidak boleh dipandang remeh.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, Nazmul didakwa memberi rasuah RM800 kepada Hambali Abdul Manap, sebagai dorongan untuk membebaskan saudaranya iaitu Md Rokul Jawan yang ditahan oleh RELA kerana tiada dokumen perjalan yang sah.

Bagi pertuduhan terhadap Agoosahari, tertuduh didakwa memberi rasuah terhadap Nur Irwan Mohd Nura bagi tujuan yang sama iaitu untuk membebaskan saudaranya, Tono Md Ali yang ditahan RELA.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan Tan Chun Keat, 34, dan Mohammed Salauddin, 23, warganegara Bangladesh turut menerima nasib yang sama apabila dihukum penjara sehari dan didenda RM10,000 kerana kesalahan yang serupa.

Bagaimanapun sekiranya gagal membayar denda itu, Hakim Rosbiahanin Ariffin mengarahkan kedua-dua tertuduh dipenjara 12 bulan.

Tan yang bekerja sebagai penyelia kafe siber dan Mohammed Salauddin, masing-masing didakwa memberi rasuah RM500 dan RM600 kepada Nur Irwan dan Hambali bagi membebaskan rakan sekerja, Shofiqul Islam dan Shahid Fakir yang tidak mempunyai dokumen sah.

Mereka yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 3, Pejabat RELA, Jalan Sultan Sulaiman, Off Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini antara 12.40 pagi dan 2.34 pagi 23 April lalu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Fadzillah Mohd Ossman. -BERNAMA

Artikel Lain