suria

Sebutan Semula Kes ADUN Sri Muda Menghasut 20 Jun

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, menetapkan 20 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie yang didakwa menerbitkan artikel menghasut di dalam blognya, tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya menetapkan tarikh tersebut selepas membenarkan permohonan peguam Nizam Bashir yang mewakili Shuhaimi agar kes ditangguhkan bagi menunggu permohonan anak guamnya untuk menggugurkan pertuduhan yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi di sini.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim hadir bagi pihak pendakwaan.

Shuhaimi, 42, didakwa menerbitkan artikel bertajuk ‘Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959’ yang mempunyai ayat-ayat yang menghasut di blog beralamat di http://srimuda.blogspot.com.

Artikel tersebut diterbitkan semasa isu mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Khusrin Munawi sedang heboh diperkatakan dan artikel tersebut juga menyentuh mengenai Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 Disember 2010 di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning, di sini.

ADUN dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Shuhaimi boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Shuhaimi kini dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM8,000 yang dijelaskan oleh rakannya, Rohaya Wan Idrus.

Pada 1 April lalu, Shuhaimi memfailkan notis usul di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, untuk mendapatkan perintah bagi menggugurkan pertuduhan ke atasnya.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja tersebut memfailan permohonan tersebut atas alasan pendakwaan itu bersifat selektif (terpilih) yang digunakan terhadap ahli parti pembangkang selain ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain