suria

Penjenayah Pura-Pura Buat Laporan Polis Kena Peluru Sesat Diberkas

SHAH ALAM: Helah seorang lelaki yang membuat laporan polis bahawa bahu kirinya cedera kononnya terkena peluru sesat terbongkar apabila polis mengecamnya sebagai salah seorang suspek yang melarikan diri selepas cuba menyerang anggota polis di Kampung Air Kuning, Sungai Rasau di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob berkata, lelaki berusia 26 tahun itu diberkas semasa memberi kenyataan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang pada 5.30 petang Isnin.

Sebelum ini pada kira-kira 6.45 pagi, lelaki yang 'berpura-pura' terkena peluru sesat itu dan rakannya cuba ditahan oleh dua anggota polis kerana berkelakuan mencurigakan di Taman Sri Muda di sini.kata Zahedi kepada pemberita di sini, Isnin.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek yang menaiki motosikal enggan berhenti malah cuba menyerang anggota polis dengan parang semasa dikejar di Taman Air Kuning hingga memaksa polis melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri, katanya.

Kedua-dua suspek itu kemudian meninggalkan motosikal mereka untuk melarikan diri di Taman Rashna berhampiran sebuah tugu keris di sini, kata Zahedi kepada pemberita.

Zahedi berkata, anggota polis yang membuat pemeriksaan mendapati terdapat kesan darah pada motosikal dan topi keledar yang ditinggalkan kedua-dua suspek dan mereka terus menjejaki suspek dengan bantuan orang awam.

"Akhirnya salah seorang suspek berjaya ditemui ketika sedang bersembunyi di dalam longkang di kawasan perumahan di Taman Rashna di sini kira-kira empat jam selepas kejadian," katanya.

Menurut Zahedi, selang beberapa jam selepas itu, pihaknya yang sedang memburu suspek kedua mendapat maklumat seorang lelaki yang cedera ditembak membuat laporan terkena peluru sesat di Klang hingga membawa kepada penahanan suspek kedua itu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Siasatan juga mendapati kedua-dua mereka merupakan penagih dadah, katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain