suria

Peniaga Warga India Ke Tali Gantung Edar Ketamin

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang peniaga barangan elektrik warga India setelah didapati bersalah mengedar dadah ketamin seberat 3.9 kg di Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dua tahun lepas.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman ke atas Samad Mohamad Sulthan, 44, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan ke atas Samad mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 melampaui keraguan munasabah.

Semasa membacakan keputusannya di akhir kes pembelaan, Siti Mariah berkata di dalam pembelaannya tertuduh tidak memanggil saksi pendakwaan dan gagal memanggil saksi yang hanya dikenali Jaafar di mahkamah untuk memberikan keterangan atas alasan Jaafar sibuk dengan perniagaannya.

Semasa pembelaan, tertuduh mendakwa mendapat pesanan daripada Jaafar seorang peniaga di Malaysia untuk menghantar barangan dari India ke negara ini.

Bagaimanapun, Samad berkata semasa di Mumbai dia berjumpa dengan seorang lagi kenalannya, Ismail bagi mendapatkan barangan yang dipesan Jaafar tetapi menurut Ismail barangan yang dikehendaki Jaafar itu tidak ada.

Samad memberitahu Ismail bahawa dia berhasrat membatalkan penerbangannya ke Malaysia kerana barangan pesanan Jaafar tidak ada tetapi diminta Ismail agar tidak berbuat demikian dan memintanya meneruskan perjalanan ke Malaysia untuk menghantar suatu barangan dengan upah RM500.

Pada 25 Feb 2009, Samad mendakwa berjumpa Ismail di Mumbai dan mengambil barangan dimaksudkan tanpa memeriksanya atas alasan mempercayai Ismail.

Siti Mariah berkata adalah tidak logik Samad, sebagai seorang ahli perniagaan membeli tiket penerbangan pada 24 Feb 2009 untuk penerbangan keesokan hari tanpa mengetahui barangan yang akan dihantar dan tidak tahu kepada siapa hendak diserahkan.

"Mahkamah berpendapat barangan pesanan Jaafar adalah rekaan semata-mata," katanya. Alasan lain yang dikemukakan tertuduh adalah rekaan, contohnya menerima cadangan Ismail jika dia membatalkan tiket penerbangan akan kerugian sedangkan Samad boleh menangguhkan penerbangannya. "OKT (Orang Kena Tuduh) kata dia tidak berpelajaran tinggi dan tidak terfikir hendak periksa kotak barang kemas sedangkan dia mahir dalam perniagaan... tidak logik hantar kotak barang kemas kosong."

Menurut fakta kes dadah ketamin itu ditemui di dalam kotak barang kemas yang ditemui di dalam kotak dibawa Samad di Balai Ketibaan KLIA oleh pegawai Jabatan Kastam.

Pihak pembelaan diwakili V. Aravindhaksan dan pendakwaan dilakukan Gan Peng Khim daripada Jabatan Kastam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain