suria

Kemenangan BN Sarawak Beri Dua Mesej Penting

KOTA KINABALU: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April lepas memberi dua mesej penting kepada rakyat di negara ini, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu pada Isnin.

Masiung Banah (BN-Kuamut) berkata keupayaan BN Sarawak memenangi 55 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan menunjukkan majoriti rakyat negara ini masih yakin dengan kepimpinan kerajaan BN.

Mesej yang satu lagi ialah kemenangan itu jelas memperlihatkan sokongan padu rakyat di kawasan luar bandar kepada BN, katanya ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan dewan di sini, Isnin.

Sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai penyuntik semangat, Masiung berkata kerajaan negeri Sabah perlu melipatgandakan usaha bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan yang sudah dirancang untuk kemudahan rakyat terutama di kawasan luar bandar.

Pada masa yang sama, beliau juga mahu kerajaan negeri memberi perhatian serius untuk memajukan kawasan Kuamut, yang merupakan antara kawasan termiskin yang terletak di tengah-tengah Sabah, termasuk dalam soal pemberian hak milik tanah kepada penduduk yang layak. Sebelum itu, Kamarlin Ombri (BN-Lumadan) berkata keputusan pilihan raya Sarawak itu seharusnya menjadi iktibar untuk BN Sabah memperkukuhkan benteng bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Saya yakin, jika kita sudah cukup bersedia untuk menghadapinya, tiada apa yang perlu kita bimbang," katanya.

Beliau yakin rekod perkhidmatan BN selama mentadbir negeri ini akan terus mendapat keyakinan rakyat.

Kamarlin berkata konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri menyediakan landasan yang kukuh untuk rakyat negara ini saling hormat menghormati dan bertoleransi antara satu sama lain.

Katanya konsep itu menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama melalui naluri sama-sama ingin mengecapi kebahagiaan dan keharmonian hidup. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain