suria

Raja Petra Beri Kenyataan Kepada Polis Di Bangkok

BANGKOK: Pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin secara sukarela memberi kenyataan kepada Polis Diraja Malaysia di sini, malam Sabtu, berhubung akuan bersumpahnya mengaitkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu, empat tahun lalu.

Beliau memberi kenyataan atas permintaan polis Malaysia di sebuah hotel, di sini. Beliau tidak ditangkap.

"Pada mulanya, polis Malaysia mahu menemu bual saya di Kedutaan Malaysia di sini tapi atas nasihat para peguam saya dan sedikit tolak ansur dengan polis, saya bersetuju mengubah tempat ke kawasan neutral, hotel di mana saya menginap," kata Raja Petra.

"Saya sedia bekerjasama dan memberi kenyataan kerana mereka ingin tahu jika saya membuat dakwaan terhadap Rosmah," katanya dalam dialog dengan Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM), di sini.

Semasa dialog itu, beliau mengulangi pendiriannya bahawa beliau dituduh secara salah memandangkan beliau tidak membuat dakwaan terhadap Rosmah dan dua yang lain tetapi terhadap sumbernya, seorang anggota tentera berpangkat kolonel yang memberinya maklumat.

Dalam akuan bersumpahnya pada 2009, antara lain Raja Petra mendakwa bahawa beliau dimaklumkan oleh sumber itu bahawa Rosmah hadir semasa pembunuhan wanita Mongolia itu.

Raja Petra yang juga Pengerusi MCLM, berada di bandar ini sebagai sebahagian kempennya untuk menubuhkan MCLM di Thailand.

Menurutnya, MCLM yang diwujudkan pada 2004 masih belum mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan tetapi mereka telah dibenarkan bergerak secara sah di London, Oktober tahun lepas.

Dialog MCLM diadakan di sebuah hotel di sini, malam tadi yang menjadi tempat penginapannya semasa lawatannya untuk kenyataannya direkodkan.

Raja Petra lari meninggalkan Malaysia pada 2009 selepas didakwa memfitnah tiga orang termasuk Rosmah melalui akuan bersumpahnya.

Dalam temu bualnya dengan TV3, Raja Petra mendedahkan bahawa akuan bersumpah beliau pada 2008 yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan itu adalah berdasarkan maklumat dan desakan beberapa individu bertujuan menyekat Najib, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, daripada menjadi Perdana Menteri. -BERNAMA

Artikel Lain