suria

Polis Bongkar Sindiket Perjudian Peroleh Taruhan RM1 Juta

GEORGE TOWN: Polis menyerbu sebuah rumah pangsapuri di Jelutong di sini, awal pagi ini dan berjaya membongkar sebuah sindiket perjudian bola yang dipercayai mampu memperoleh pertaruhan sehingga mencecah jutaan ringgit sehari.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota polis bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Timur Laut pada 12.30 pagi tadi, pihaknya menahan tujuh lelaki dan dua wanita termasuk seorang wanita warga China.

"Ketika diserbu kesemua mereka sedang leka mengambil pertaruhan dalam talian menggunakan tiga buah komputer riba," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pertaruhan dilakukan dengan pembelian cip melalui nombor akaun bank mereka yang bertaruh dengan sindiket berkenaan.

"Setiap pemain dibenarkan bertaruh hingga RM10,000 dalam setiap pertaruhan dan sindiket berkenaan boleh mengutip wang pertaruhan sehingga RM1 juta sehari," katanya.

Gan berkata dalam operasi itu, pihaknya turut merampas tiga buah komputer riba dan beberapa buah kerusi serta meja ala mini kasino.

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan saki baki anggota sindiket berkenaan dan pihaknya juga sedang menyiasat sama ada sindiket itu mempunyai rangkaian dengan sindiket antarabangsa.

Katanya kesemua mereka yang berusia antara 30 dan 48 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Sekyen 6(3) Akta Pertaruhan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membuat aduan berhubung aktiviti berkenaan dan berharap orang ramai akan sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membanteras kegiatan jenayah. -BERNAMA

Artikel Lain