suria

E-Mel 1MY Mudahkan Interaksi Rakyat Dengan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Penyediaan e-mel percuma di bawah konsep 1Malaysia (1MY) kepada setiap rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan memberi pelbagai manfaat kepada rakyat, menurut pakar teknologi maklumat komunikasi maklumat (ICT).

Azli Paat, yang juga Pengarah Adavista Sdn Bhd, berkata e-mel rasmi yang penyertaannya dibuat secara sukarela itu dapat memudahkan semua pihak berurusan dengan sektor-sektor serta agensi kerajaan yang terlibat.

"Sepatutnya tidak harus timbul isu yang mengatakan usaha ini akan memudahkan kerajaan memantau e-mel rakyat atau memudahkan kerajaan menghantar e-mel terus ke akaun e-mel 1MY," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Beliau diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas mengenai projek itu yang merupakan inisiatif sukarela sektor swasta dan tidak membabitkan wang awam.

Insiatif e-mel 1MY itu akan membolehkan komunikasi secara langsung dan selamat antara rakyat Malaysia dan kerajaan dan meningkatkan perkhidmatan penyampaian kerajaan kepada pengguna dan ahli perniagaan.

Azli berkata kerajaan menerusi Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan memantau tahap keselamatan penggunaan e-mel berkenaan bukan atas dasar kepentingan untuk kerajaan semata-mata.

Beliau berkata kerajaan sememangnya telah sedia ada menyimpan data-data dan maklumat setiap rakyat dan bukan memantaunya menerusi pengunaan e-mel.

Beliau berkata dengan pelbagai penyedia perkhidmatan e-mel percuma seperti Yahoo!, Gmail, Hotmail dan lain-lain, rakyat kini boleh memilih e-mel 1MY untuk berurusan dengan sektor kerajaan.

"Apabila menggunakan e-mel 1MY, seperti dalam urusan cukai pendapatan kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak terlibat akan lebih senang untuk memberi maklum balas yang dikehendaki," katanya dengan mencadangkan e-mel itu tidak digunakan untuk kegunaan peribadi.

Azli berkata projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) itu juga disalahertikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Isu ini menjadi sensitif apabila faktor persekitaran di mana inisiatif swasta yang diumumkan perdana menteri telah dilihat sebagai usaha kerajaan yang diletakkan di bawah Program Tranfosrmasi Kerajaan (GTP) dan ETP, rakyat harus menggunakannya seperti e-mel yang lain," katanya.

Tricubes Bhd akan mempelopori pelaburan RM50 juta itu yang juga termasuk pembangunan sebuah laman portal, sebuah pusat sehenti bagi perkhidmatan kerajaan, penyediaan khidmat tambah nilai seperti rangkaian sosial, semakan bil dalam talian dan pembayaran, sebagai tambahan kepada set peralatan pembangunan web untuk warga negara dan entiti perniagaan bagi membangunkan aplikasi secara kreatif. Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) juga telah memberi penjelasan bahawa kerajaan tidak membiayai projek akaun e-mel 1MY dan ia juga bukan sesuatu yang diwajibkan kepada rakyat.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, berkata projek e-mel 1MY amat berguna dalam usaha memastikan rakyat tidak tercicir daripada mendapatkan maklumat yang mutakhir di sekeliling mereka.

"E-mel 1MY memang sangat bagus, dalam masa yang sama mereka boleh respon terus kepada kerajaan tentang sesuatu isu atau dasar. Ini namanya 'engagement' dan keterbukaan," katanya.

Mohamed Maliki menyifatkan tindakan pihak pembangkang yang membantah projek itu kerana mereka merasa terancam dan takut kerajaan dikuasai oleh golongan muda berikutan golongan itu yang selalu menggunakan khidmat e-mel di dalam kehidupan seharian mereka.

Presiden Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, berkata e-mel itu menjadi 'pelengkap' dalam beberapa usaha lain kerajaan dalam meningkatkan pengetahuan teknologi maklumat di kalangan golongan muda termasuk pengagihan 'Notebook 1Malaysia'.

Akhramsyah Muamar Ubaidah, yang juga Naib Presiden Bloghouse Malaysia, berkata pihak pembangkang khususnya tidak berhak mempertikaikan inisiatif pihak tempatan yang mengeluarkan e-mel sendiri yang dapat digunakan untuk pelbagai tujuan seperti pemasaran dan promosi dalam memperkenalkan sesebuah syarikat.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Shaheen Mirza Habib, berpandangan ia sebagai salah satu inisiatif pihak swasta dalam memainkan peranannya membantu kerajaan demi kebaikan rakyat.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Muhammad Shaani Abdullah pula berkata kerajaan juga harus memastikan perkhidmatan e-mel itu dapat digunakan dan diberikan kepada mereka yang menggunakannya secara berterusan. -BERNAMA

Artikel Lain