suria

Di Temerloh, warga tua kehilangan RM67,800...

GERAM, amarah, sedih dan pilu - semuanya ada sebaik sahaja membaca berita bagaimana seorang peneroka Felda berusia 78 tahun kehilangan semua wang simpanan Amanah Saham Bumiputera dan Bank Rakyat kepada satu sindiket yang mungkin menggunakan kuasa memukau (deceive) untuk memperolehi duit tersebut.

Mangsa, Mohamed Awang Da, menceritakan, dia hanya menurut perintah mereka yang memperdayakannya tanpa banyak soal. Lalu mengeluarkan wang dari simpanan ASBnya sebanyak RM52,000 dan dari akaun Bank Rakyat RM13,000 dan wang tunai di tangan sebanyak RM2,800 untuk diserahkan kepada sang penipu yang bergelar ‘haji’ tanpa banyak soal.

Dia diminta mendahulukan wangnya kepada seorang haji yang bernama Osman yang kononnya tidak membawa wang untuk membeli batu permata daripada seorang lagi haji bernama Haji Mat Saat bernilai RM200,000. Yang menariknya, kedua-dua haji ini tidak pernah dikenali atau ditemui oleh mangsa sebelum ini.

Tetapi mangsa tidak membantah setiap kata-kata mereka dan hanya turuti apa yang dikatakan oleh mereka. Mereka minta dia kembali ke rumahnya di Felda Jengka 18, Maran untuk mengambil buku akaunnya dan mangsa sanggup balik ke rumah untuk berbuat demikian dengan salah seorang haji yang menipunya itu.

Dia kemudiannya bersama haji itu kembali ke Temerloh untuk mengeluarkan wang tersebut lalu menyerahkan kesemua wang simpanannya itu kepada Haji Osman.

Kesian Mohamed Awang kerana kita boleh bayangkan kesemua wangnya yang hilang itu adalah penat lelah titik peluhnya selama bertahun-tahun membanting tulang sebagai peneroka.

Wang itu hilang sekelip mata ke tangan orang yang tidak dia kenali. Maka insiden ini hanya mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan sapaan atau teguran orang yang tidak kita kenali yang datang menegur kita di tengah-tengah bandar bertanyakan tentang tanda arah atau mencari seseorang yang dia ingin temui.

Kejadian seperti ini hanya mencetuskan rasa ragu di dalam diri kita tentang niat dan keikhlasan seseorang itu. Mungkin dia seorang yang benar-benar baik dan perlukan bantuan. Malangnya, kejadian yang menimpa Mohamed Awang telah menimbulkan syak wasangka di dalam diri kita ke atas seseorang yang tidak kita kenali.

Malangnya juga jika inilah pendirian kita, maka hilanglah budaya dan budi pekerti kita sebagai orang timur. Lama kelamaan sifat kemanusiaan di dalam diri kita akan terhakis kerana kita meragui setiap orang yang tidak dikenali yang datang mendekati kita untuk bertanyakan sesuatu.

Suatu ketika dahulu kita pernah mendengar kisah bagaimana sekumpulan orang Arab memukau orang ramai dengan menghulurkan mata wang dinar untuk ditukar dengan ringgit Malaysia kerana kehabisan mata wang ringgit. Sedar-sedar, dia telah mengambil sejumlah wang yang jauh lebih banyak dari dinar yang dia ingin tukarkan.

Khabarnya orang menyerahkan semua wang yang ada dalam dompet mereka tanpa banyak soal. Hendak dijadikan cerita, penulis sendiri pernah didatangi dua orang Arab di hadapan masjid Putrajaya tidak berapa lama dahulu dengan alasan hendak menukar wang dinar dengan ringgit. Penulis tanpa banyak soal mengeluarkan dompet dan sebaik sahaja dompet dikeluarkan, jejaka Arab ini terus membelek wang di dalam dompet penulis dengan tangannya seolah-olah tidak sabar hendak mengetahui berapa ringgit yang penulis ada.

Adik penulis yang berada di belakang lantas dengan segera, menarik penulis ke arahnya dan mengarahkan penulis segera menyimpan semula dompet. Dengan pantas, dua jejaka Arab tadi yang tidak sabar-sabar hendak menukar wang, melarikan diri jauh dari penulis dan pada detik dan masa itu, barulah penulis tersedar yang penulis hampir-hampir menjadi mangsa.

Dan Di Shenzen, warga kita kehilangan...

Hanya pada Isnin lalu, 18 April, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan sejumlah 72 rakyat Malaysia pada masa kini sedang ditahan di Republik Rakyat China atas kesalahan mengedar dadah dan juga penyeludupan, tiba-tiba pada hari Khamis, 21 April, akhbar-akhbar melaporkan kehilangan seorang pelajar kolej yang dipercayai ditahan oleh pihak berkuasa republik itu kerana disyaki menyeludup dadah.

Dia disyaki ditahan selepas rakan sekolejnya menerima SMS yang berbunyi “Tolong saya, saya ditangkap di Shenzen...”

Gadis malang itu yang bernama Merrylyn Chandra Saput, 22, dari Sri Aman, Sarawak telah menjadi mangsa teman lelakinya seorang warga Afrika yang menyuruhnya membawa sesuatu ke Republik Rakyat China. Menurut kawannya lagi, mangsa telah menghilangkan diri sejak 10 April dan mereka tidak tahu yang dia telah berlepas ke China sehinggalah menerima SMS itu. Malah kata mereka, perangainya banyak berubah selepas berkawan dengan seorang lelaki warga Afrika yang sering mengumpannya dengan wang ringgit.

Tidak ada siapa yang pasti, sama ada mangsa menyedari kandungan barangan yang dibawanya ke China. Anifah Aman sendiri mengakui, “kita masih mencari sebabnya mengapa sebahagian daripada wanita kita diperdayakan untuk menjadi keldai dadah.” Kata Anifah, di Guangzhou jumlah pelaku jenayah ini dari Malaysia sangat tinggi.

Dan sekarang kita tidak tahu apakah caranya dan bagaimanakah kita dapat membantu mangsa-mangsa seperti Merrylyn ini untuk kembali ke tanahair dengan selamat setelah menjadi mangsa sindiket penyeludupan dadah. Malah kata Anifah, sementara Malaysia akan berusaha untuk menjaga kebajikan rakyatnya yang terlibat, Malaysia pada masa yang sama tetap perlu menghormati undang-undang sesebuah negara yang berdaulat.

Beliau turut mengenal pasti ‘cinta’ sebagai salah satu punca rakyat Malaysia dipergunakan dalam kes-kes pengedaran dadah dan sebagainya di China tetapi turut menyatakan beberapa punca lain seperti faktor kewangan dan juga bagasi yang dipergunakan oleh sindiket untuk memperdayakan rakyat Malaysia.

Jadi langkah terbaik yang boleh kita semua lakukan ialah sentiasa mengingati anak-anak perempuan kita agar berhati-hati dengan siapa mereka berkawan dan berhati-hati memilih pasangan kekasih mereka. Seorang anak remaja yang sudah keluar tinggal berasingan di kolej atau di bandar lain memang sukar untuk diawasi apatah lagi untuk memantau pergerakannya.

Ini adalah hakikat yang harus kita terima kerana akan tiba masanya setiap keluarga yang mempunyai anak remaja akan terpaksa melepaskan anak mereka pergi menentukan haluan masing-masing tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh memantau mereka. Jika kita sayangi mereka, kita wajib memantau mereka.

Mereka harus diingatkan betapa penipu dan pemangsa sentiasa berada di mana-mana. Jika mereka tidak hati-hati dan tidak waspada nasib mereka akan berakhir sepertimana Merrylyn. Kita tidak mahu ini berlaku kepada anak-anak gadis yang lain apatah lagi kepada anak-anak gadis kita sendiri.

Dan Perkembangan Terbaru...

Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot berkata pada Isnin (25 Apr) bahawa pelajar kolej swasta yang ditahan di China baru-baru ini kerana disyaki cuba menyeludup dadah ke negara itu adalah seorang gadis Iban dari Betong, Sarawak.

Beliau mengesahkan bahawa pelajar jurusan kejururawatan dari sebuah kolej swasta itu telah diperdayakan oleh seorang lelaki Afrika yang mangsa kenali menerusi laman sosial Facebook. Kata Riot, pelajar berusia 22 tahun itu terpedaya dengan lelaki yang bernama Chimezie Michael setelah dijanjikan dengan wang ringgit. Malah lelaki itu telah membiayai segala perbelanjaannya ke China.

Menurut Riot, pelajar tersebut telah menelan 100 pil yang mengandungi heroin atas arahan lelaki berkenaan yang menjanjikan upah sebanyak RM5,000 jika dia berjaya membawa masuk pil tersebut dengan selamat ke China.

Malangnya dia telah berjaya dikesan membawa heroin itu sebaik sahaja tiba di Lapangan terbang Shenzen di Wilayah Guangzhou pada 11 Mac. Adalah difahamkan pil yang ditelannya itu adalah seberat 600-700g. Kata timbalan menteri itu lagi, pihak berkuasa Malaysia dan China kini sedang cuba menjejaki lelaki berkenaan yang dikatakan cuma pernah bertemu dengan mangsa sekali sahaja.

Malah kata Riot, pelajar kolej berkenaan adalah mangsa keldai dadah Malaysia yang ke-11 yang berjaya ditahan ketika cuba memasuki Guangzhou untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Artikel Lain