suria

Polis Tahan Remaja Sorok Heroin Dalam Lipatan Kaki Seluar

GEORGE TOWN: Polis menahan dua remaja dipercayai pengedar dadah dan merampas bungkusan dadah jenis heroin bernilai RM10,000 dalam satu operasi sekatan jalan raya di Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang di sini awal pagi Sabtu.

Pegawai Turus Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Cif Inspektor Rohizad Halim berkata kedua-dua remaja lelaki berusia awal 20-an itu ditahan pada 3 pagi ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Kedah.

"Mereka yang bekerja di sebuah kilang dan restoran di Kedah dipercayai datang ke Pulau Pinang untuk mengambil bekalan dadah sebelum diedarkan di kawasan tempat tinggal mereka di Kedah," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau berkata polis menahan dua remaja yang menaiki kereta jenis Proton Satria itu dan menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit namun tidak menemui sebarang benda yang mencurigakan.

"Ketika mahu membuat pemeriksaan di badan, salah seorang daripada remaja terbabit dilihat dalam keadaan mencurigakan dan dia cuba melipat seluar yang dipakai ketika polis memintanya membuang kasut untuk diperiksa," katanya.

Rohizad berkata curiga melihat kelakuan remaja berkenaan, pihaknya kemudian membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati terdapat bungkusan plastik disembunyikan dalam lipatan seluar di kaki kirinya.

Katanya siasatan awal mendapati mereka merupakan pengedar dadah secara kecil-kecilan di Kedah dan mendapatkan bekalan daripada satu sindiket di Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Supritendan S. Batumalai mengesahkan penahan dua remaja berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan sindiket yang menjual bekalan dadah terbabit.

"Mereka kini direman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain