suria

Perak Siasat Kes Ceroboh Hutan Paya Bakau

LUMUT: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Sabtu mengarahkan siasatan segera terhadap pencerobohan tanah kerajaan termasuk hutan simpan paya bakau di Daerah Manjung di sini.

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius tindakan pihak tertentu yang didapati menceroboh tanah milik kerajaan termasuk hutan simpan paya bakau bagi tujuan menternak udang dan tanaman kelapa sawit.

Katanya, kegiatan tersebut dilaporkan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sehingga menghampiri kawasan penempatan penduduk di beberapa buah kampung.

"Kegiatan menceroboh tanah milik kerajaan dan rizab hutan paya bakau di beberapa kawasan sekitar Segari (Manjung) itu dipercayai membabitkan kawasan seluas dari 30 ekar hingga 50 ekar dan ada yang sudah sampai ke tepi kampung.

"Kita mahu siasat dulu dan saya telah mengarahkan Pegawai Daerah Manjung Datuk Ahmad Shafee untuk menyediakan laporan berhubung kegiatan pencerobohan itu," katanya kepada pemberita selepas Program Turun Padang di Kampung Tanjung Batu, Batu 3, Damar Laut di sini, Sabtu.

Dr Zambry berkata tindakan tegas perlu diambil kerana perbuatan peneroka haram itu telah memusnahkan kawasan pokok bakau yang bertindak sebagai zon penampan terhadap ombak besar dan tsunami.

Sebelum itu, Menteri Besar menghadiri aktiviti gotong royong Pembersihan Pesisir Pantai anjuran AEON Co (M) Berhad di Teluk Senangin, Segari.

Beliau berkata program berkenaan perlu dicontohi oleh syarikat korporat lain supaya dapat membantu kerajaan negeri dalam usaha menjaga alam sekitar. - BERNAMA

Artikel Lain